Thursday December 7, 2017
4:13 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Demi faedah rakyat, hampir 100 peratus janji Barisan Nasional dalam pilihan raya 2013 sudah dijayakan, kata Datuk Seri Najib Razak. ― Foto oleh Miera ZulyanaDemi faedah rakyat, hampir 100 peratus janji Barisan Nasional dalam pilihan raya 2013 sudah dijayakan, kata Datuk Seri Najib Razak. ― Foto oleh Miera ZulyanaKUALA LUMPUR, 7 Dis ― Akujanji kerajaan Barisan Nasional yang dibuat kepada rakyat pada pilihan raya umum yang lalu telah berjaya mencapai 97.6 peratus pelaksanaannya setakat bulan lepas, demi faedah rakyat, umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Beliau berkata ia dibuat melalui 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategi.

Najib hari ini membentangkan laporan prestasi menggariskan pencapaian beliau dalam mentransformasi Umno, Barisan Nasional (BN) dan negara di bawah pentadbirannya sejak mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2009.

Semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini, Najib berkata sejak memimpin Umno dan BN, beliau melakukan transformasi politik yang paling berani, demokratik dan tidak pernah dibuat dalam sejarah parti.

“Sebanyak tujuh pindaan Perlembagaan dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Umno tahun 2009 bagi membuka ruang pemilihan teraju parti, dilaksanakan secara terbuka kepada lebih 150,000 anggota untuk memastikan Umno terus dinamik, inklusif dan relevan sampai bila-bila,” katanya.

Perdana menteri berkata beliau tanpa berlengah-lengah melancarkan pelbagai Transformasi Strategik, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional (DTN), yang digagaskan secara rasminya pada 2010.

Sejak Program Transformasi Kerajaan dilaksanakan pada tahun 2010, Najib berkata pelbagai hasil kejayaan telah muncul satu persatu.

“Pusat Transformasi Bandar (UTC) menjadi ‘game changer’ dalam perkhidmatan awam, telah diakui sebagai model terbaik perkhidmatan kerajaan di peringkat dunia. UTC dipuji ramai kerana pusat khidmat sehentinya mampu beroperasi dari 8.30 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu.

“Kita berbangga dan bersyukur, mana ada negara lain di dunia, yang mampu menawarkan khidmat sebegini kepada rakyatnya, melainkan di Malaysia, di bawah pimpinan Umno dan BN,” katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan juga memperuntukkan lebih RM192 billion untuk perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada rakyat, sejak 2010.

Sehingga kini, beliau berkata terdapat 356 klinik 1Malaysia yang memberikan perkhidmatan kesihatan serendah RM1 telah menerima 26.7 juta pengunjung.

Selain itu, di bawah pentadbiran beliau, Najib berkata kerajaan juga memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak 2012 dan telah mengagihkan RM6.8 bilion yang memanfaatkan lebih 7 juta penerima, sehingga jumlah mencapai RM1,200.

“Dulu dituduhnya kita merasuah rakyat tetapi sekarang sudah terbalik dan membuat U-turn (pusingan U) jika mereka memerintah, konsep subsidi bersasar BR1M yang kita buat akan ditiru pulak pelaksanaannya… Inilah perangai depa. Asyik dok U-turn, U-turn dan U-turn,” katanya.

Selain itu, beliau menambah bahawa kerajaan juga mewujudkan lebih 180 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menjual barangan keperluan pada harga lebih rendah dan KR1M 2.0 yang ditambahbaik akan dilancarkan tidak lama lagi.

Najib yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Bajet 2018 yang disifatkan sebagai ’ibu segala bajet’ baru-baru ini telah disegani kawan dan lawan dengan peruntukan terbesar serta paling inklusif dan tidak pernah seumpamanya sebelum ini.

Beliau berkata agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus dijadikan Agenda Nasional melalui Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang mana inisiatif ‘carve out and compete’ kepada Bumiputera mencapai nilai kontrak lebih RM61 bilion.

Najib berkata projek MRT yang bertaraf dunia yang siap lebih awal daripada jadual tanpa menjejaskan kualiti dan menjimatkan lebih RM2 bilion merupakan kisah kejayaan dan menjadi ‘pembuka mata’ sebagai lambang kepada ketelusan, bukti kebolehan anak-anak bangsa dalam pelbagai bidang kejuruteraan.

Selain itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan menjayakan projek infra-rakyat Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuh Raya Pan Borneo yang akan memanfaatkan rakyat.

Najib berkata BN yang ditunjangi Umno amat cakna dan peduli kepada kepentingan seluruh lapisan rakyat yang mana kerajaan menyalurkan peruntukan untuk pendidikan, pelbagai pinjaman perniagaan dan pengurangan cukai untuk kaum Cina.

Untuk kaum India pula, beliau berkata kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang akan mengarus perdanakan dan meningkatkan tahap sosioekonomi kaum India secara komprehensif.

“Selain itu, sebanyak RM6.5 bilion disediakan untuk infrastruktur asas, yang membantu meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup lebih 6.2 juta rakyat Malaysia di luar bandar, termasuklah di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam Bajet 2018, perdana menteri juga mengumumkan pemansuhan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuaraian Trafik Timur (EDL), Johor.

Dalam bidang pendidikan, Najib berkata bermula daripada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah adalah percuma manakala peringkat universiti atau pengajian tinggi, 90 peratus kos pengajian ditanggung kerajaan.

“Inilah, bak kata cerdik pandai, kejayaan UMNO dan BN, mentadbir dan memacu kejayaan Malaysia, amat terang lagi bersuluh, bukan bersuluh batang pisang, bahkan bersuluh bintang dan matahari,” kata Najib. ― Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline