Friday December 8, 2017
8:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Seri Najib Razak yakin BN akan menang PRU14jika ahli Umno sedia bekerja sebagai satu pasukan. ― Foto Bernama Datuk Seri Najib Razak yakin BN akan menang PRU14jika ahli Umno sedia bekerja sebagai satu pasukan. ― Foto Bernama KUALA LUMPUR, 8 Dis ― Semua mata tertumpu terhadap individu penting semalam, Datuk Seri Najib Razak, semasa beliau menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno di sini – perhimpunan terakhir parti sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangkakan awal tahun depan.

Dalam tempoh satu setengah jam, perdana menteri dan presiden Umno itu mendedahkan rancangan dan harapannya terhadap Malaysia dan 32 juta penduduknya jika Barisan Nasional, dan Umno sebagai tulang belakangnya, kembali berkuasa untuk penggal lima tahun lagi.

Disokong dengan rekod prestasi pencapaian yang tidak dapat disangkal lagi, beliau menghuraikan kepada audien seramai 5,000 penyokong setia parti itu, tentang pelbagai perkara menarik kenapa Umno dan BN harus terus berkuasa mentadbir pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya.

Dan beliau melakukannya dalam ucapan yang tersusun rapi, sambil mengakui bahawa beliau mengambil masa lama untuk mengumpulkan semua perkara itu melalui beberapa siri dialog, perbincangan hati ke hati dan sesi percambahan idea dengan pelbagai pihak.

Najib, yang juga Pengerusi BN, menegaskan tentang apa yang harus dilakukan parti dalam fasa terakhir menuju PRU14 dan ucapan beliau disulami dengan penceritaan pelbagai kejayaan yang dicapai di bawah kepimpinanya selama lapan tahun dan sambil itu membidas tindak tanduk pembangkang terutama yang cuba memperkecilkan peranan BN.

Dalam ucapan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Najib berkata kemenangan PRU14 akan menjadi milik mereka jika anggota parti bersedia untuk bekerja sebagai satu pasukan bersenjatakan mentaliti menang, semangat juang kental mengenepikan segala cubaan sabotaj pihak lawan.

Beliau meletakkan pilihan sama ada memilih “dacing” dengan Umno dan BN untuk membawa Malaysia terus menuju puncak kejayaan atau menghadapi kemunduran jika mengundi pembangkang.

Pemimpin Umno itu juga memberi amaran terhadap politik persepsi, pembohongan dan cerita tidak benar yang disebarkan pembangkang hingga menjejaskan imej Umno dan kerajaan dalam pilihan raya umum yang lepas.

Beliau mengimbas dakwaan kononnya wujud 40,000 pengundi hantu yang diimport dari Bangladesh dan kekecohan terhadap penggunaan dakwat kekal yang dikatakan mudah luntur oleh pihak pembangkang yang cuba menggagalkan usaha kemenangan BN ketika itu.

Najib menggesa lebih tiga juta anggota Umno dan anggota BN yang berjumlah lebih tujuh juta supaya menjadi tentera siber membantu mematahkan serangan persepsi negatif terhadap parti dan terus menyebarkan kebenaran.

“Pertempuran sebenar dalam pilihan raya akan datang ialah dalam perang dunia siber dan digital. Kita boleh hilang segalanya jika kita gagal untuk menyertai dan menguasainya,” kata Najib.

Perdana menteri turut memperkatakan tentang sisi kelemahan parti pembangkang, mengecam DAP yang dikuasai penasihat dan dinasti anak-beranak, dan parti pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ― Parti Pribumi Bersatu Malaysia ― yang gagal menguruskan sekecil-kecil hal mengendalikan mesyuarat parti sendiri.

“Mudah kata kalau nak menguruskan hal ehwal mesyuarat pun gagal, lagu mana nak uruskan negara? katanya dalam nada sarkastik.

Najib menempelak Dr Mahathir dengan melabelkan beliau sebagai “Melayu mudah lupa” apabila pemimpin veteran ini bertindak melampaui batas berpakat dan bersubahat dengan musuh politik berpuluh tahun beliau sendiri untuk membentuk pakatan menyerang kerajaan.

Mengenai kegagalan pembangkang mencapai kata sepakat tentang isu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau berkata: “satu-satunya yang konsisten tentang mereka sebagai pembangkang ialah untuk selamanya tidak konsisten.”

Mengenai ekonomi, Najib yang juga Menteri Kewangan membidas pembangkang yang mendakwa kononnya Malaysia sebuah negara gagal dan akan bankrap.

Katanya perangkaan dan fakta tidak menyokong dakwaan ini, sambil menegaskan pertumbuhan KDNK negara pada suku ketiga tahun 2017 ialah pada kadar 6.2 peratus iaitu antara yang tertinggi di dunia ― pencapaian yang membuktikan pengurusan ekonomi negara berada pada landasan yang betul.

Beliau turut menarik perhatian audien kepada rizab antarabangsa negara sebanyak RM429 bilion.

Najib umpama membentangkan kad laporan di bawah pentadbirannya seperti dalam bidang pendidikan, kesihatan dan semua inisiatif berpaksikan rakyat yang diterima baik seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Pusat Transformasi Bandar yang merupakan pusat sehenti menyediakan kemudahan perkhidmatan awam. ― Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline