Friday September 1, 2017
3:11 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Seorang pengunjung menggunakan kemudahan Internet di PI1M Kampung Tanjung, Padang Terap. — Foto-foto ihsan Facebook/PI1M Kampung TanjungSeorang pengunjung menggunakan kemudahan Internet di PI1M Kampung Tanjung, Padang Terap. — Foto-foto ihsan Facebook/PI1M Kampung TanjungKUALA NERANG (Kedah), 1 Sept — Internet semakin menjadi bahagian penting dalam kehidupan hari ini, namun bukan semua dapat menikmati kemudahan teknologi maklumat ini terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. 

Menyedari hakikat ini, kerajaan kini memperhebatkan usaha untuk menyediakan capaian Internet jalur lebar di seluruh negara, antaranya dengan pembukaan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

Inisiatif yang dilaksanakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ini (SKMM) dilihat sebagai perkembangan positif ke arah membawa angin pemBaruan kepada masyarakat setempat.

SKMM baru-baru ini membawa sekumpulan wakil media untuk programme ‘Lawatan Media; Menarik di Padang Terap’ untuk melihat sendiri bagaimana PI1M ini menjadi kemudahan utama bagi masyarakat setempat. 

Kami difahamkan kebanyakan penduduk Padang Terap, daerah ketiga terbesar di Kedah Darul Aman itu tidak mempunyai komputer dan penggunaan Internet boleh dikatakan masih di tahap rendah.

Datang tengok video

Ketika penulis berada di PI1M Kampung Tanjung, terletak 3.5 km dari Padang Terap, seorang lelaki berusia pertengahan umur datang ke pusat itu selepas solat Jumaat.

PI1M Kampung Tanjung itu adalah salah satu daripada sembilan PI1M di kawasan Padang Terap.

Apabila diitanya tujuannya datang ke pusat itu, lelaki itu sekadar menjawab mahu menonton video di Internet.

Bayaran untuk menjadi ahli PI1M ialah RM5 seumur hidup. Untuk penggunaan Internet pula, caj yang digunakan untuk ahli dewasa ialah RM1 sejam, bukan ahli RM2 sejam sementara bagi warga emas dan pelajar, percuma.

Pihak media dimaklumkan sejak pembukaan PI1M, penduduk setempat semakin menunjukkan minat yang tinggi untuk menggunakan kemudahan yang disediakan. 

Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, ketua sektor digital dan ekosistem SKMM, yang turut serta dalam lawatan media itu, berkata pada mulanya pengisian PI1M bertumpu kepada pengajaran kursus asas teknologi maklumat dan komunikasi termasuk penggunaan Windows, Excel dan cara membuka laman web serta aplikasi. 

Sesi pengajaran seterusnya ditambah sesuai dengan perkembangan media sosial serta pendedahan kepada telefon pintar, Facebook, Instagram, dan WhatsApp.

Menurut beliau, langkah itu berjaya membantu usahawan desa untuk mentransformasikan produk keluaran tempatan dan menembusi pasaran yang lebih luas.

Sementara itu, pengurus PI1M Kampung Tanjung Wan Suriyani Wan Senu berkata kebanyakan usahawan setempat hanya memasarkan produk keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) di kedai.

“Apabila mereka mengetahui PI1M turut menawarkan aplikasi seperti Dashboard Myshop untuk promosikan produk atas talian, mereka sendiri hadir bagi mendapatkan tunjuk ajar.

“Di kampung, kebanyakan penduduk tahu mengenai PI1M melalui buah mulut orang kampung, seperti seorang makcik menjual bedak sejuk yang datang berjumpa kami bertanya sama ada boleh menjual produknya di Internet.

“Pihak kami menolong beliau untuk memasarkan produk melalui Dashboard Myshop. Tidak lama selepas itu ada yang menempah sehingga 250 balang bedak sejuk,” kata Wan Suriyani.

Beberapa pelajar menggunakan kemudahan Internet di PI1M Kampung Tanjung, Padang Terap. Beberapa pelajar menggunakan kemudahan Internet di PI1M Kampung Tanjung, Padang Terap. Jadi ‘penulis siluman’

Salah seorang pengguna PI1M yang sempat ditemu bual Nor Mayani Ismail, 30, berkata beliau pertama kali menggunakan perkhidmatan PI1M sekitar dua tahun lalu. 

Penulis novel itu berkata pada masa itu beliau sekadar mahu menggunakan kemudahan Internet untuk menghantar emel kepada penerbitnya.

“Bila sudah masuk ke pusat Internet ini, saya baru sedar PI1M ini bukanlah seperti kafe siber,” katanya.

Mayani memuji kakitangan PI1M yang banyak memberi tunjuk ajar dan semuanya itu membantu mengasah bakatnya menjadi lebih daripada seorang penulis novel termasuk pendedahan kepada teknik ‘copy writing’ dan Photoshop.

Beliau juga tidak menyangka kunjungannya ke PI1M membuka pintu rezeki lain sehingga beliau kini mampu mengadakan kelas ‘copy writing’ bagi syarikat serta menjadi penulis siluman (ghost writer) bagi agensi perniagaan yang ingin menerbitkan buku.

Mayani juga meluahkan rasa kesyukuran kerana hasil daripada saranan kakitangan PI1M untuk mengorak langkah dalam bidang perniagaan, beliau kini berjaya mengeluarkan tudung di bawah jenamanya sendiri.

“Saya berjaya kerana didikan strategi pemasaran PI1M dan berikutnya saya merancang memperluaskan perniagaan saya iaitu menghasilkan minyak wangi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Dulu RM2,000 kini dapat RM10,000 

SKMM turut memperkenalkan konsep kluster kepada sembilan PI1M di daerah Padang Terap untuk membolehkan kakitangan PI1M bekerjasama mempromosikan keunikan produk dan perkhidmatan yang terdapat di situ.

Hasilnya, sebuah video travelog ‘Jom Pi Tasik Pedu’ karya petugas PI1M berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan mencipta video MYkomuniti kreatif anjuran SKMM pada 2016.

Video travelog itu adalah mengenai Rumah Bot Seri Mahawangsa yang terdapat di Tasik Pedu.

Pengusaha Rumah Bot Seri Mahawangsa Amir Wahab berkata inisiatif PI1M itu berjaya meningkatkan peratusan pengunjung yang berkunjung ke Tasik Pedu sehingga beliau mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,00 sebulan berbanding RM2,000 sebelum itu.

Berkeluasan kira-kira 800 kaki persegi dan boleh menempatkan sehingga 15 orang dalam satu-satu masa, rumah bot itu menawarkan penginapan unik di tengah tasik termasuk aktiviti rekreasi seperti berkayak dan merentas hutan.

Aktiviti itu membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat haiwan termasuk rusa, gajah, ayam hutan dan enggang.

Bagi kaki pancing pula, tasik itu juga mengandungi pelbagai spesies ikan seperti lampan, baung, jelawat, kaloi dan sebarau.

Mereka boleh memilih untuk memasak sendiri ataupun menggunakan perkhimatan yang disediakan dalam pakej lengkap rumah bot.

Berikutan kejayaan usahawan desa yang kini berjaya meraih pendapatan yang lebih tinggi melalui fasiliti di PI1M, SKMM menggesa supaya lebih ramai usahawan tampil menggunakan pusat Internet itu seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat pada masa kini. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline