Last updated Friday, December 09, 2016 1:42 pm GMT+8

Wednesday November 30, 2016
2:33 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

 Najib dalam Program Soal Jawab Khas sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 berkata hubungan tegang antara Umno dan PAS kini semakin kendur termasuk di peringkat akar umbi. — Foto oleh Yusof Mat Isa Najib dalam Program Soal Jawab Khas sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 berkata hubungan tegang antara Umno dan PAS kini semakin kendur termasuk di peringkat akar umbi. — Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 30 Nov — Hubungan yang semakin baik antara Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat akan menjadi inspirasi kepada anggota akar umbi untuk bekerjasama demi kepentingan ummah dan negara.

Sehubungan itu, Perhimpunan Agung Umno 2016 dipandang sebagai satu platform untuk menggalakkan hubungan baik itu di semua peringkat.

Perwakilan dan pemerhati di perhimpunan ini menaruh harapan mereka akan membawa pulang ke negeri masing-masing idea dan pendekatan yang berkesan untuk merealisasikan hasrat itu.

Seorang pemerhati yang juga anggota Umno Cawangan Kampung Aman, Jitra, Kedah, Mohd Fadzli Abdul Halim, 49, berkata sikap pemimpin adalah penting untuk mencorakkan hubungan anggota Umno dan PAS di semua peringkat.

Beliau berkata sebarang perpecahan dalam kalangan masyarakat khususnya di luar bandar hendaklah diatasi.

“Sekitar tahun 80-an berlaku perkara tidak diingini dalam masyarakat seperti pulau-memulau, sembahyang dua imam dan sembelihan ternakan oleh pihak tertentu tidak halal, ini merugikan orang Melayu,” katanya.

Seorang perwakilan yang juga Ketua Umno Cawangan Perumahan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Zulkifli Abdul Ghani, 61, berkata perhimpunan ini amat penting bagi memikirkan bagaimana orang Melayu yang kini masih berpecah boleh bersatu.

“Inilah platform untuk perwakilan dan para pemimpin Umno memikirkan idea-idea baharu yang boleh dilaksanakan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata di kawasannya, perpecahan akibat perbezaan fahaman politik tidak begitu ketara namun hubungan antara ummah perlu dieratkan lagi.

Seorang perwakilan Wanita Umno Bahagian Labis, Rohani Tamrin, 59, berkata anggota akar umbi bersedia untuk mengikut jejak pemimpin yang mengutamakan kepentingan ummah dan negara.

Rohani berkata perpecahan yang berlaku dalam masyarakat selama ini disebabkan terdapat pemimpin yang menganjurkan politik sempit dan pentingkan diri.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam serta cabaran politik semasa mendesak kedua-dua parti politik itu lebih positif untuk kepentingan ummah dan negara.

Beliau berkata perhimpunan ini perlu menggalakkan perpaduan orang Melayu yang kukuh agar “perbalahan hebat” pada masa lalu (sekitar 80-an) tidak berulang.

“Sejak kebelakangan ini, banyak faktor yang dilihat menyumbang kepada hubungan yang semakin baik antara Umno dan PAS, dan ini menunjukkan proses ke arah mencapai banyak lagi titik persamaan sedang berlaku,” katanya.

Kamarul Zaman berkata hubungan yang dilihat semakin baik antara Umno dan PAS dijangka akan berterusan demi kepentingan ummah dan negara.

Najib dalam Program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016, berkata hubungan tegang antara Umno dan PAS yang berlaku suatu ketika dahulu, kini semakin kendur termasuk di peringkat akar umbi.

Abdul Hadi berkata kerjasama dengan Umno adalah lebih tertumpu kepada soal untuk menegakkan syiar Islam demi kepentingan umat Islam di negara ini dan jalinan itu bukan atas kepentingan politik. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline