Monday December 21, 2015
10:42 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Majlis AIDS Malaysia mahukan imam mendidik masyarakat tentang HIV dan Aids kerana masyarakat mendengar kata mereka. — Foto oleh Mohd Yusof Mat IsaMajlis AIDS Malaysia mahukan imam mendidik masyarakat tentang HIV dan Aids kerana masyarakat mendengar kata mereka. — Foto oleh Mohd Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 21 Dis — Peranan tokoh agama seperti imam diperlukan untuk mendidik masyarakat tentang 'human immunodeficiency virus' atau HIV, dan mendorong penghidapnya di negeri-negeri yang majoritinya umat Islam supaya mendapatkan bantuan.

Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC) Datuk Dr Raj Karim berkata penularan stigma berkaitan HIV dalam masyarakat di negeri-negeri berkenaan menyebabkan pesakit keberatan untuk tampil mendapatkan rawatan dan perundingan.

"Stigma di negeri yang majoritinya umat Islam adalah amat ketara, kebanyakan pesakit tidak suka bercakap mengenainya kerana takut diberi hukuman. Jadi, mereka tidak mahu mendapatkan bantuan.

"Dan, peranan imam penting terutamanya di luar bandar kerana orang mendengar apa sahaja kata imam," katanya ketika melancarkan kempen 'Melenyapkan AIDS Menjelang 2030' bersempena sambutan Hari AIDS Sedunia 2015 di sini, semalam.

Menurut Yayasan AIDS Malaysia (MAF) pada 2014, Kelantan mencatat jumlah kedua tertinggi kes HIV dengan 207 kes baharu dicatat di negeri itu daripada 3,393 jumlah kes di seluruh negara.

Sementara itu, sukarelawan daripada Kuala Lumpur AIDS Support Service Society (KLASS), Andrew Tan, mencadangkan supaya peraturan diwujudkan bagi melindungi penghidap HIV daripada menjadi mangsa diskriminasi di tempat kerja.

"Kerangka minda tentang penyakit ini dalam kalangan rakyat Malaysia masih cetek. Bagi kebanyakan orang, mereka yang menghidap penyakit ini adalah 'orang tidak baik' dan pemikiran seperti ini perlu dihentikan," kata Tan, 56, yang disahkan menghidap penyakit itu kira-kira 22 tahun lepas.

Sukarelawan itu berkata pesakit HIV masih mempunyai harapan untuk berusaha membaiki kehidupan mereka dan berkhidmat untuk kebaikan masyarakat, tetapi diskriminasi seperti itu menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Kempen itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Yayasan Sime Darby serta mendapat sokongan daripada ONE CONDOM dan Miss Universe Malaysia Organisation. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline