Thursday February 8, 2018
8:20 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Dr Stephen Rundi Utom berkata PBB tidak mahu bergaduh tetapi menuntut hak yang terhakis dikembalikan secara baik. — Foto oleh Sulok TawieDr Stephen Rundi Utom berkata PBB tidak mahu bergaduh tetapi menuntut hak yang terhakis dikembalikan secara baik. — Foto oleh Sulok TawieKUCHING, 8 Feb — Perhimpunan Agung Tritahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-14 akan menyaksikan usul Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibentangkan sebelum dikemukakan untuk dibawa kepada kerajaan persekutuan. 

Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata selain MA63, dua lagi usul yang akan dibentang pada perhimpunan itu ialah usul ekonomi digital dan pendidikan.

Bercakap pada sidang media praperhimpunan itu di sini hari ini, Rundi berkata antara perkara yang dijangka disentuh berhubung MA63 itu ialah hak negeri.

“Kita tidak mahu bergaduh, kita cuma mahu hak yang terhakis dikembalikan secara baik dan rundingan, kita pun tidak pernah terfikir nak keluar daripada Malaysia,” katanya. 

Perhimpunan yang akan bermula esok hingga Ahad itu dijangka dihadiri 5,000 perwakilan, pemerhati dan anggota  dari seluruh negeri.

Rundi berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Presiden PBB akan menyempurnakan perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pemuda esok.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi Barisan Nasional dijangka menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan PBB Ke-14 pada Sabtu,” katanya.

Perhimpunan kali ini menyaksikan hanya jawatan Naib Presiden (sayap Bumiputera) yang akan dipertandingkan manakala tiada pertandingan bagi jawatan-jawatan lain.

Tujuh calon yang akan merebut jawatan Naib Presiden (sayap Bumiputera) ialah Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi.

Turut akan bertanding ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datuk Talip Zulpilip; Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan Dr Annuar Rapa’ee; Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail.

Tiga jawatan Naib Presiden (sayap Pesaka) menyaksikan tiada pertandingan, sekali gus mengesahkan  Rundi, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Ronald Sagah Wee Inn dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri  Datuk Gerawat Gala kekal dalam jawatan itu. — Bernama

Iklan

Iklan

MMO Instagram