Thursday December 21, 2017
7:49 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Patung Buddha berkenaan dicuri kira-kira 8 pagi 11 Disember lepas namun disedari kerani pada 10 pagi semalam. — Foto ihsan Facebook/Penang KiniPatung Buddha berkenaan dicuri kira-kira 8 pagi 11 Disember lepas namun disedari kerani pada 10 pagi semalam. — Foto ihsan Facebook/Penang KiniGEORGE TOWN, 21 Dis — Polis sedang mengesan seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai mencuri sebuah patung Buddha bernilai RM10,000 di dalam dewan sembahyang sebuah pertubuhan Buddha di Jalan Anson, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata setiausaha pertubuhan berkenaan menyedari patung yang bernama “Sleeping Buddha” itu hilang selepas dimaklumkan oleh kerani dewan tersebut pada kira-kira 10 pagi semalam.

“Mereka kemudiannya membuat pemeriksaan dan mendapati patung yang diperbuat daripada marmar putih itu telah tiada di ruang sembahyang dalam dewan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya mereka membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan pemeriksaan awal kamera litar tertutup (CCTV) dewan tersebut mendapati patung Buddha berkenaan dicuri kira-kira 8 pagi 11 Disember lepas.

Beliau berkata berdasarkan rakaman CCTV, terdapat seorang lelaki dan seorang wanita telah mencuri patung berukuran satu kaki panjang itu sebelum melarikannya dengan kereta jenis Perodua Myvi warna ungu.

Anuar berkata patung Buddha milik pertubuhan itu sudah lama ditempatkan dalam dewan sembahyang berkenaan dan dipercayai berusia lebih 90 tahun.

“Semasa kejadian, tiada pengunjung lain di dewan sembahyang itu dan kerani serta setiausaha pertubuhan berkenaan juga tidak mengenali dua suspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata usaha mengesan dua suspek itu giat dijalankan dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun kerana terlibat dalam kegiatan curi motosikal menerusi serbuan di sebuah rumah di Flat Pinggiran Alma, Bukit Mertajam semalam.

Katanya susulan penahanan wanita itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dicurinya dan pelbagai komponen kenderaan berkenaan yang telah dileraikan.

“Polis sedang mengesan tiga lelaki iaitu rakan jenayah wanita itu dan mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini. Suspek yang mempunyai rekod lampau kini direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya. — Bernama

Iklan

Iklan

MMO Instagram