Thursday April 14, 2016
6:24 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Tiga remaja mengaku bersalah mengaibkan kehormatan dua pelajar tingkatan dua yang dirakam sedang menjilat jalan dan video itu menjadi viral di media sosial (foto).Tiga remaja mengaku bersalah mengaibkan kehormatan dua pelajar tingkatan dua yang dirakam sedang menjilat jalan dan video itu menjadi viral di media sosial (foto).PETALING JAYA, 14 April — Tiga remaja termasuk seorang bawah umur dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini berhubung kes buli dua pelajar sekolah yang bersujud sambil menjilat jalan raya di sekitar Sea Park.

Majistret Atiqah Abdul Karim@Husaini membuat keputusan itu selepas tiga remaja itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengaibkan kehormatan dua pelajar tingkatan dua yang menjadi viral di media sosial, baru-baru ini.

Majistret Atiqah Abdul Karim@Husaini memerintahkan Tan Sze Keong, 18, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Lim Khoo Boo Kean, 19, penuntut kolej swasta dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM3,000.

Remaja bawah umur berusia 17 tahun pula dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000.

Mahkamah turut mengenakan dua syarat tambahan kepada ketiga-ketiga remaja lelaki itu iaitu mereka perlu menghadiri sesi kaunseling di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap dua bulan sekali dan perlu berada dalam rumah keluarga mereka sebelum 10 malam setiap hari.

“Mahkamah memberi peluang kedua kepada kamu. Kamu boleh meneruskan pengajian. Ingin diingatkan bahawa, masyarakat terutama ibu bapa diharap dapat memantau perilaku anak-anak,” kata Atiqah.

Beliau berkata sekiranya ketiga-tiga tertuduh melanggar syarat seperti yang telah ditetapkan dalam tempoh dua tahun, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut pertuduhan asal.

Tan dan Lim bersama seorang remaja bawah umur itu didakwa menyuruh dua pelajar lelaki berusia 15 tahun bersujud sambil menjilat jalan raya dengan tujuan untuk mengaibkan kehormatan di kawasan belakang sebuah sekolah menengah di Sea Park, Kelana Jaya, di sini pada 1 tengah hari, 29 Jan lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran agar ketiga-tiga tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu.

Peguam Muhammad Syazwan Hasan pula memohon mahkamah agar hukuman asal ditukarkan kepada perintah bon berkelakuan baik memandangkan ketiga-tiga tertuduh merupakan remaja termasuk seorang tertuduh bawah umur 17 tahun.

Pada Januari lepas, rakaman video perbuatan buli melibatkan dua mangsa lelaki berusia 15 tahun yang lengkap berpakaian sekolah menjilat jalan raya berdurasi 34 saat menjadi viral di media sosial selain turut dimuat naik di laman Facebook. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline