Last updated Sunday, September 25, 2016 12:16 am GMT+8

Friday September 23, 2016
8:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Zainon Md Zin, 55, ibu kepada remaja Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, memeluk erat anaknya yang selamat pulang kepangkuan keluarga. ― Foto BernamaZainon Md Zin, 55, ibu kepada remaja Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, memeluk erat anaknya yang selamat pulang kepangkuan keluarga. ― Foto BernamaKAJANG, 23 Sept ― “Syukur padamu ya Allah, Alhamdulillah kerana selamatkan anakku.”

Itu ayat yang tidak putus-putus keluar daripada mulut ibu Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, yang dilarikan dua individu tidak dikenali di Bandar Tun Hussein Onn di sini, semalam.   

Zainon Md Zin, 55, memeluk erat anaknya itu sebaik sahaja Nur Darleen Dazeera keluar dari kereta Proton Wira milik wanita yang menemuinya kira-kira tiga kilometer dari rumahnya, dan membantu membawa mangsa pulang ke rumah pada pukul 2.20 petang tadi.             

Suasana sedih menyelubungi perkarangan rumahnya sebaik Nur Darleen Dazeera atau dipanggil 'Baby' dalam kalangan keluarga, tiba dan menangis teresak-esak, memeluk anggota keluarganya termasuk bapanya, Azhar Mohd Mukry, 61. 

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn yang masih memakai pakaian seragam sekolah itu dilarikan dua lelaki bermotosikal ketika sedang menunggu van sekolah di hadapan rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, pukul 7 pagi tadi.

Dia ditemui selamat oleh orang awam berdekatan sebuah pasar raya kira-kira tujuh jam kemudian, dipercayai ditinggalkan dua lelaki berkenaan di kawasan itu selepas berita mengenai kejadian tersebut tersebar di laman sosial.

Keluarga itu bagaimanapun enggan memberi sebarang kenyataan kepada media dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan.          

Pelajar itu juga masih dalam keadaan terkejut dan tidak banyak bercakap dan hanya menjawab “tidak kenal” ketika anggota keluarga bertanya siapa yang melarikannya.     

Difahamkan, mangsa dipaksa menaiki motosikal suspek selepas diacukan parang dan dibawa ke sebuah rumah berdekatan sebelum dilepaskan oleh dua lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan mengesahkan yang Nur Darleen Dazeera ditemui selamat dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk diambil keterangan.

“Butiran terperinci mengenai kes ini bagaimanapun tidak boleh didedahkan,” katanya menerusi kenyataan semalam.   

Ketika ditemui pemberita sebelum pelajar itu ditemui, bapa saudaranya Jalaluddin Md Zin, 50, memberitahu seorang daripada rakan anak saudaranya yang berada dalam van sekolah itu ternampak Nur Darleen Dazeera menaiki motosikal, diapit dua lelaki.   

“Nur Darleen Dazeera berada di antara dua lelaki berkenaan dan cuba melambai tangan ke arah rakannya tetapi dihalang lelaki itu,” katanya. ― Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline