Saturday April 22, 2017
8:25 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2017 dan penyampaian hadiah anugerah kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2016 malam tadi.— Foto BernamaDatuk Seri Najib Razak berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2017 dan penyampaian hadiah anugerah kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2016 malam tadi.— Foto BernamaKUALA LUMPUR, 22 April — Datuk Seri Najib Razak menyifatkan peranan media dan kewartawanan yang bertanggungjawab dan beretika sangat penting dalam membangunkan masyarakat bermaklumat, sebagaimana dirancang dalam pelan tindakan Dasar Komunikasi Negara.

Perdana Menteri berkata pelan tindakan berkenaan sedang digubal oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Katanya ketika ini negara berada dalam era 'post-truth' atau pasca kebenaran, dengan kehadiran berita-berita palsu terutamanya dalam pelbagai platform media sosial yang besar pengikutnya, kini sudah menjadi lumrah.

“Apa lebih menyedihkan, khalayak yang terdedah kepada berita-berita palsu yang tidak bersandarkan kepada fakta itu menerima bulat-bulat apa disogokkan kepada mereka.

“Mereka tidak dapat membezakan antara intan dan kaca. Emosi khalayak menewaskan kewarasan mereka.

“Kita tahu kesahihan maklumat yang disebar menerusi media sosial boleh diragui, kita tahu blog, Facebook dan laman portal media sosial tidak terikat dengan etika media konvensional.

“Jika tidak dibendung dan dikawal, fenomena berita palsu akan mengancam keselamatan negara daripada pelbagai sudut.

“Berita palsu juga akan melahirkan sejarah palsu, kita tidak dapat membezakan antara yang benar dan batil,” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2017 (MWN 2017) anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas, di sini, malam tadi.

Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir pada perhimpunan terbesar komuniti kewartawanan Malaysia itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pengerusi Bersama MWM 2017 yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad Datuk Mustapa Omar, Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab serta ketua-ketua pengarang media utama di negara ini.

Perdana Menteri berkata media mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada umum apa itu fakta dan sebaran fitnah.

Katanya kerajaan memandang serius kewujudan berleluasa berita palsu itu sehingga mendorong kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia mewujudkan laman web “sebenarnya.my “ yang boleh diakses oleh semua pihak untuk menentusahkan sama ada sesuatu berita ditularkan palsu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, kata Najib usaha kerajaan hanya berkesan sekiranya organisasi media bekerjasama dalam menyalurkan maklumat sahih dan berguna menerusi pelbagai platform yang ada, sama ada platform nyata atau maya.

“Dalam konteks itulah saya kira peranan wartawan yang berpegang kepada prinsip verifikasi dan beretika dalam pelaporan masing-masing akan menjadi lebih penting.

“Mereka tidak harus bersikap gopoh atau terburu-buru, tidak menghiraukan kesahihan fakta dalam membuat laporan kerana mahu menjadi yang pertama mengeluarkan berita ​dalam zaman digital ini,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyeru wartawan profesional untuk berada di barisan hadapan dalam memerangi berita palsu dan pelbagai pembohongan, terutama ketika ada pihak sama ada di dalam dan luar negara yang sengaja memburukkan imej negara dengan membuat kenyataan tidak tepat tentang keadaan ekonomi dan kestabilan politik negara.

Katanya bidang kewartawanan juga berperanan untuk melaporkan kebenaran dan menjadi “jagawan” (watchdog) yang menyemak tiga cabang kuasa negara, selain menjadi wadah untuk menghidangkan maklumat pelbagai bagi membantu masyarakat membuat keputusan dalam kehidupan mereka.

“Usaha membantu masyarakat membuat keputusan terbaik dalam apa juga bidang, baik untuk diri sendiri, keluarga, dalam perniagaan, pentadbiran dan politik, perlu digiatkan dan ditambah baik oleh wartawan dan organisasi media,” jelasnya.

Beliau berkata di Malaysia, fungsi media sebagai platform untuk penetapan agenda nasional amat mustahak.

“Saya percaya sebagai sebuah negara yang berjaya, kewujudan media yang bebas tetapi bertanggungjawab adalah prasyarat penting.

“Bantulah kerajaan dalam menjayakan tanggungjawab kepada negara, era kerajaan tahu segala-galanya seperti sering saya nyatakan sudah lama berlalu,” katanya.

Pada majlis itu kumpulan wartawan The Star; Samantha Chow, Clarissa Say, Maryam Zainol, Elroi Yee, Ian Yee dan Lim May Lee memenangi Hadiah Kajai, anugerah paling berprestij untuk laporan mereka bertajuk “To Catch A Predator, Child Grooming Laws Around The World, Date With A Sexual Predator”.

MWM 2017 menyaksikan 291 penyertaan diterima bagi 20 kategori dipertandingkan dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia 2016.

Pemenang bagi setiap kategori menerima wang tunai RM10,000, sijil dan trofi manakala karya terbaik dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai dengan hadiah wang tunai RM30,000, sijil, trofi dan hadiah iringan lain.

Anugerah Tokoh Media dimenangi Pengarah Urusan Kumpulan/CEO Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Husamuddin Yaacub, iaitu anugerah kali pertama diadakan bagi menghargai individu yang memberi sumbangan kepada organisasi. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline