Last updated Saturday, December 10, 2016 4:42 pm GMT+8

Thursday December 1, 2016
12:05 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Wala’ bukan hanya kepada jasad tetapi juga merangkumi institusi kepresidenan atau keperdanamenterian, kata Datuk Seri Najib Razak. ― Foto BernamaWala’ bukan hanya kepada jasad tetapi juga merangkumi institusi kepresidenan atau keperdanamenterian, kata Datuk Seri Najib Razak. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 1 Dis ― Umno mampu bertahan sehingga hari ini kerana amalan prinsip wala’ dan kesetiaan dalam tradisi Umno, kata presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata prinsip wala' Umno membawa maksud nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada pemimpin yang sah, dan dalam konteks Umno iaitu presiden parti manakala bagi kerajaan ialah perdana menteri.

"Wala’ yang diberikan bukanlah sekadar kepada jasad, tubuh atau individu, akan tetapi, wala’ sebenarnya merangkumi institusi kepresidenan atau keperdanamenterian, yang disandang oleh seseorang," kata Najib dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelasnya, selama lebih tujuh dekad Umno berjaya bertahan walaupun menghadapi pelbagai rintangan serta sering kali cuba dijebak ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.

Perdana menteri berkata ia merupakan perlambangan hebat parti terbesar orang Melayu itu menjunjung adat dan budaya Timur serta bersendikan landasan syarak, dalam menyatakan sokongan dan dukungan terhadap seorang presiden atau perdana menteri selama ini.

Memberikan contoh beberapa pergolakan termasuk episod pertembungan antara 'Team A' dan 'Team B' ketika pemilihan presiden Umno pada 1987 dan pengisytiharan Umno sebagai pertubuhan haram pada 4 Februari 1988, Najib berkata orang Umno tetap setia bersama pemimpin mereka.

"Siapa juga pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong dan membantu Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) selaku presiden, sehingga Umno baharu secara rasmi diterima semula secara sah? Siapa lagi, siapa lagi, kalau bukan kita, orang Umno," katanya.

Semasa era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib berkata beliau selaku timbalan presiden parti ketika itu bersama-sama majoriti pimpinan dan keseluruhan anggota Umno tetap setia bukan sahaja ke atas jasad, tetapi institusi yang dijunjung dan dipegang oleh presiden Umno serta perdana menteri.

Tegasnya, wala’ dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa yang akan berada di puncak kelak dan mengambil alih jawatan presiden dan perdana menteri.

"Wala’ dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta agama kita (Islam) adalah semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya," katanya.

Najib, yang berdiri di podium utama Perhimpunan Agung Umno untuk kali ke-13, lima kali sebagai timbalan presiden dan lapan kali sebagai presiden, meluahkan rasa kesalnya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dahulunya seorang negarawan terbilang namun kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya.

Tindakan bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno itu bersekongkol dengan DAP, perhimpunan haram Bersih serta musuh luar seperti George Soros, merupakan kemuncak penderhakaan kepada Umno, bangsa dan tanah air, katanya.

Beliau juga kecewa dengan tindakan bekas-bekas pemimpin parti dan kerajaan daripada Umno yang tergamak mengkhianati perjuangan dengan melanggar sumpah jawatan dan simpan rahsia yang dilakukan atas nama Allah.

Presiden Umno pada masa yang sama memberi penghargaan kepada seluruh anggota parti yang kini mencecah lebih 3 juta orang kerana tetap setia dengan perjuangan parti, walaupun melalui beberapa ujian getir.

Najib, tanpa berselindung meminta rakyat memikirkan sedalam-dalamnya mengenai pilihan sama ada mahu mengekalkan keindukan kerajaan pimpinan Umno atau keindukan kerajaan pimpinan DAP (UMNO-led Vs DAP-led government).

"Orang-orang Melayu dan bumiputera serta rakyat Malaysia berdepan dengan satu persimpangan paling genting dalam tawarikh politik negara di mana pada PRU14 nanti para pengundi akan menentukan dengan pemikiran dan tangan-tangan mereka, di peti-peti undi akan siapakah yang sebaiknya menerajui pemerintahan negara ini," katanya.

Perdana menteri dalam ucapan dasar yang disampaikannya sebagai seorang Melayu, seorang Islam, seorang bumiputera dan seorang anak Malaysia itu, turut membayangkan bahana yang mungkin menimpa orang Melayu dan bumiputera jika negara diperintah DAP, yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular.

Beliau bimbang tentang nasib institusi bumiputera, agama Islam sebagai agama persekutuan, institusi raja-raja Melayu serta hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seandainya DAP memegang kuasa pemerintahan negara.

Najib juga berkata, kerajaan indukan Umno telah mengambil ketetapan bersejarah apabila melalui perundingan dengan rakan-rakan PAS, Rang Undang-undang 355 berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 dibacakan pada 24 November lalu di Dewan Rakyat.

"Janganlah sesiapa mempolitikkan isu ini kerana ia adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Perdana menteri memberi jaminan kepada mereka yang bukan Islam bahawa mereka tidak tertakluk di bawah usul itu.

Najib turut memperingatkan tentang sejarah umat Melayu Islam yang lumpuh dan runtuh berkali-kali kerana permusuhan dan pembelotan dan sekali gus meminta umat Melayu supaya jangan membiarkan diri diperkudakan sehingga kampung tergadai.

"Atas nama perpaduan umat Melayu dan ummah, lupakan sengketa dan perbezaan antara kita. Bersamalah kita kembali ke pangkal jalan," katanya.

Perdana menteri yakin kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan membawa momentum kemenangan besar BN pada PRU14.

Pada penghujung ucapannya, Najib berpesan agar perjuangan Umno akan tetap dipelihara dan dipertahankan selama-lamanya.

"Jikalau Umno terkubur oleh kelekaan kita, pastinya ia menjadi satu dosa yang tidak akan diampunkan oleh anak-anak cucu kita kelak," katanya. ― Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline