Thursday January 4, 2018
8:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Persiapan menghadapi PRU14 dan isu rakyat antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi. ― Foto oleh Ahmad ZamzahuriPersiapan menghadapi PRU14 dan isu rakyat antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi. ― Foto oleh Ahmad ZamzahuriKUALA LUMPUR, 4 Jan ― Persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan perjuangan menjuarai isu-isu rakyat antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi, kata pemimpin parti-parti komponen.

Bagaimanapun, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tidak menyentuh soal agihan kerusi kepada setiap komponen parti dan senarai muktamad calon BN, menurut mereka.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata mesyuarat tersebut berjalan lancar namun segala perincian mengenai jumlah kerusi yang bakal diagihkan kepada komponen akan ditentukan kemudian.

“Tiada tarikh pilihan raya dibincangkan...secara umum mengenai persediaan (bagi pilihan raya). Nanti kita bincang lagi, kita ada masa lagi,” kata Menteri Pertahanan tersebut.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata senarai calon bagi semua parti komponen telah diserahkan kepada Najib dan terpulang kepada beliau untuk memuktamadkannya.

Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata parti komponen BN lebih bersatu dan bersedia dengan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Teo Chee Kang berkata isu berkenaan rakyat dan pilihan raya dibangkitkan dan dibincangkan dalam suasana baik, harmoni dan secara  konsensus.

Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Entulu Belaun pula berkata mesyuarat turut menekankan soal kebersamaan BN dalam menghadapi PRU14 termasuk persiapan yang perlu dibuat setiap parti komponen.

Senada dengannya, pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata komponen parti bersepakat untuk bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN pada PRU14.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. ― Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline