Friday August 11, 2017
9:18 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Sebuah sekolah rendah di Hulu Langat, Selangor meletakkan label untuk mengasingkan gelas kegunaan murid Islam dan bukan Islam. — Foto ihsan Facebook/Satees MuniandySebuah sekolah rendah di Hulu Langat, Selangor meletakkan label untuk mengasingkan gelas kegunaan murid Islam dan bukan Islam. — Foto ihsan Facebook/Satees MuniandyKUALA NERANG, 11 Ogos — Tindakan pentadbir sebuah sekolah rendah yang mengasingkan gelas minuman untuk pelajar Islam dan bukan Islam dilihat tidak bertepatan serta bersesuaian dengan peraturan dan pekeliling Kementerian Pendidikan sedia ada.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebaliknya pentadbir sekolah harus berperanan sebagai agen pemurnian dalam mewujudkan perpaduan dan menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum.

“Semua jenis peraturan dan pekeliling urusan sekolah telah tertakluk pada pekeliling kementerian sedia ada.

“Jadi pentadbir sekolah tidak boleh buat sesuatu perkara lebih dari apa yang telah ditetapkan.

“Mereka (pentadbir sekolah) tidak boleh buat peraturan sendiri sebaliknya perlu merujuk dengan pihak kementerian dahulu jika hendak melakukan sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda Umno Bahagian Padang Terap hari ini.

Beliau diminta mengulas isu dasar mengasingkan gelas minuman pelajar Islam dan bukan Islam di sebuah sekolah rendah di Hulu Langat, Selangor seperti yang dilapor sebuah portal media semalam.
 
Mahdzir berkata sebelum melaksanakan sesuatu peraturan, pentadbir sekolah perlu memastikan ia tidak menyentuh sensitiviti kaum.

"Dalam kehidupan majmuk ini, sensitiviti ada jadi kita perlu jaga. Jangan disebabkan pelaksanaan yang dibuat itu mendatangkan masalah dan menyusahkan pihak lain,” katanya.

Namun katanya isu itu telah diselesaikan di peringkat jabatan.

Isu itu turut diulas Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan tindakan itu sebagai perkauman di samping mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline