Monday November 6, 2017
6:33 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Nelayan terutama anak muda tidak kira tempat mengambil dadah seperti di dalam bot, atas jeti dan bawah jambatan, kata AADK Terengganu. — Foto Malay MailNelayan terutama anak muda tidak kira tempat mengambil dadah seperti di dalam bot, atas jeti dan bawah jambatan, kata AADK Terengganu. — Foto Malay MailKUALA TERENGGANU, 6 Nov — Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu memberi tumpuan terhadap golongan nelayan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Dungun.

Penolong Pengarah Kanan AADK Negeri Terengganu Arzmi Abdullah berkata kebanyakan penagih terdiri daripada kaum nelayan di Kuala Kemaman, Kuala Dungun, Gong Badak dan Seberang Takir serta Kampung Tanjung di sini.

“Nelayan terutama anak-anak muda ini tidak kira tempat menjalankan kegiatan mereka seperti di dalam bot, atas jeti, bawah jambatan, dalam semak dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada program pengupayaan komuniti ‘Perangi Dadah Habis-habisan’ melibatkan 25 Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di sini hari ini.

Katanya mengikut rekod, bilangan penagih yang ditangkap mengikut umur bagi tahun 2014 hingga 2016, golongan belia antara yang tertinggi terlibat dalam jenayah tersebut dalam tempoh tiga tahun iaitu 107 orang pada 2014, 166 (2015) dan 378 (2016) berbanding remaja dan orang dewasa.

“Itu angka yang kita tangkap, yang masih bebas di luar sana ramai lagi. Jadi, kita harap ketua-ketua masyarakat seperti JKKK memainkan peranan dengan melaporkan kepada AADK sekiranya terdapat kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline