Sunday September 17, 2017
9:44 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Najib mengangkat tangan bersama Muhammad setelah beliau mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno. — Foto BernamaNajib mengangkat tangan bersama Muhammad setelah beliau mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 17 Sept — Pemimpin Umno di pelbagai lapisan menyambut baik tindakan bekas naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib kembali ke pangkuan Umno, sekaligus mengukuhkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-14 khususnya di Selangor.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar berkata penyertaan semula Muhammad dalam Umno menjadi suntikan semangat untuk Umno negeri berjuang memastikan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang dan menawan semula Selangor.

“Kami Umno Selangor mengalu-alukan kehadiran semula bekas pemimpin hebat di Selangor… walaupun Tan Sri (Muhammad) sebelum ini di sebelah sana (bersama pembangkang).

“Hubungan kami masih akrab dan saya percaya Tan Sri akan naikkan semangat kami untuk tawan semula Selangor,” katanya kepada pemberita susulan pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bahawa Muhammad kembali ke pangkuan Umno, hari ini.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata kembalinya bekas pemimpin parti kepada Umno menunjukkan wujud kesedaran bahawa agenda besar parti dan negara adalah jauh lebih penting berbanding agenda individu.

Katanya Muhammad, yang pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk sebagai ketua penerangan Umno dahulu, sedar perjuangan untuk rakyat adalah lebih bermakna jika berada di dalam Umno dan Barisan Nasional, selepas lima tahun mencuba melalui platform PAS dan PKR.

“Jadi bagi pihak parti, kita alu-alukan apa sahaja yang boleh membawa solidariti dan kekuatan politik kepada Umno dan negara ini.

“Harap-harap akan ada lebih ramai lagi bekas pemimpin Umno yang kembali (ke pangkuan parti) kerana pintu Umno sentiasa terbuka kepada semua,” katanya.

Anggota Majlis Tertinggi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan Muhammad membuktikan tiada parti alternatif yang ikhlas memperjuangkan rakyat terutamanya Melayu dan Islam selain Umno.

“Dalam tempoh bersama pembangkang sudah pasti beliau (Muhammad)  faham bahawa sebenarnya pembangkang langsung tidak mempunyai agenda untuk membangunkan rakyat serta memperkukuhkan Islam,” katanya.

Ismail Sabri berkata perkembangan positif ini membuka peluang cerah kepada Umno di Selangor untuk rakyat mempertimbangkan siapa sebenarnya yang berada di landasan tepat untuk memimpin kerana Muhammad antara tokoh pemimpin yang berjasa.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata keputusan Muhammad membuktikan bahawa perjuangan Umno terhadap agama, bangsa dan negara masih relevan dan bekas naib presiden Umno itu sendiri mengakui perbezaan intipati perjuangan parti pembangkang yang dianggapnya sia-sia.

Mat Nadzari berkata Umno dan BN Selangor akan bekerja rapat dengan Muhammad dan berkongsi pengalamannya semasa berada di luar parti dalam menggembleng usaha untuk meraih kepercayaan rakyat di negeri itu. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline