Thursday December 7, 2017
2:39 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan Baitulmuqaddis dijadikan ibu negara Israel sampai bila-bila. ― Foto Reuters Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan Baitulmuqaddis dijadikan ibu negara Israel sampai bila-bila. ― Foto Reuters KUALA LUMPUR, 7 Dis ― Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.

Semasa menyampaikan ucapan dasar ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Najib yang juga Presiden Umno yakin dan percaya umat Islam tidak dapat menerima sampai bila-bila cadangan Amerika Syarikat untuk mengiktiraf satu daripada tiga kota suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.

“Kita menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai negara Israel sampai bila-bila,” katanya yang disambut dengan laungan Allahu Akhbar!! Allahu Akhbar!! Allahu Akhbar daripada para perwakilan di dalam dewan dan anggota Umno di luar dewan yang mengikuti lintas langsung majlis itu.

Tetamu-tetamu dari Palestin, yang menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung itu atas jemputan Umno itu, juga bangun berdiri tanda memberi penghormatan terhadap kenyataan tersebut.

Najib seterusnya mengajak para pimpinan parti, para perwakilan, anggota-anggota yang hadir pada perhimpunan itu serta mereka yang berada di mana sahaja untuk bangun dan menzahirkan pendirian tersebut dengan selantang-lantangnya.

Najib berkata beliau bersependapat dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ‘kita perlu buta warna dalam hal kemanusiaan’.

“...satu perjuangan bukan sahaja dari suara umat Islam Malaysia, malah, suara kemanusiaan dunia yang diwakili kerajaan Malaysia pimpinan Umno,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, setelah Amerika Syarikat melaksanakan dasar berhati-hati sejak berdekad lamanya dan tidak mengendahkan amaran tentang tindakan bersejarah yang mungkin mencetuskan keganasan di Timur Tengah.

Dilaporkan bahawa Palestin dan para pemimpin dunia Arab mengutuk tindakan itu, yang menyaksikan Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke kota suci berkenaan.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia akan terus prihatin dan berperanan aktif di seluruh dunia, khususnya dalam membantu saudara seakidah di serata dunia, umpamannya di Myanmar dan Palestin.

“Umno tidak pernah dan tidak sesekali berkompromi dengan apa-apa jua hal yang melibatkan penghinaan ke atas kesucian dan tingginya agama Islam serta syiarnya, bukan sahaja di tanah air ini, bahkan di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Beliau juga menarik perhatian para perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu bahawa Malaysia merupakan negara pertama yang menyediakan Hospital Medan di Cox’s Baazar, Bangladesh untuk pelarian etnik Rohingya. ― Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline