Friday February 9, 2018
9:57 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Hazama berkata AJL kali ini memberi kelainan apabila isterinya lebih giat dalam membuat persiapan persembahan. — Foto oleh Choo Choy MayHazama berkata AJL kali ini memberi kelainan apabila isterinya lebih giat dalam membuat persiapan persembahan. — Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 9 Feb — Penyanyi Hazama enggan melepaskan peluang untuk bersaing dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) walau tewas sejak lima tahun lalu.

Hazama, 33, berkata selagi lagu nyanyiannya mendapat tempat di hati peminat, selagi itulah pentas AJL sentiasa dilihat relevan.

“Selagi orang memerlukan saya bertanding dalam AJL, selagi itu saya terima sebab saya sudah biasa kalah, jadi tidak jadi masalah.

“Betul saya kalah setiap tahun tetapi saya ada setiap tahun jika dibandingkan mereka yang pernah menang.

“Tidak kisah menang atau kalah tetapi apa yang penting semangat kerana kalau kita putus asa, itu yang kalah.

“Kalau tahun ini pun saya kalah, tiada masalah. Jika tahun depan ada lagu bagus dan ada permintaan untuk bertanding, saya pasti bertanding,” katanya kepada ProjekMMO.

Suami pengarah muzik Genervie Kam tahun ini mempertandingkan Aku Yang Sebenar ciptaan Datuk M. Nasir dan Ad Samad.

Lima kali bertanding dalam AJL, Hazama mempertandingkan Simetri, Penglipur Lara, Malaikat, Sampai Mati dan Di Amaran Mama.

AJL Ahad ini menyaksikan Hazama bersaing dengan penyanyi baharu seperti Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Khai Bahar dan Ara Johari.

Hazama berkata AJL bukanlah pertandingan untuk mengangkat kejayaan penyanyi sebaliknya lebih kepada karya komposer dan penulis lirik.

“Mungkin sesetengah orang tidak faham apakah matlamat AJL. Ia bukan untuk penyanyi tetapi mengangkat penulis lirik dan komposer.

“Penyanyi hanyalah pelantun kepada seni dan rasa mereka. Sebab itu saya tidak kisah siapa pemenangnya kerana ini bukan pertandingan penyanyi.   

“Pada peringkat awal dahulu mungkin saya rasa ini sebagai pertandingan tetapi sekarang saya lebih seronok menyertainya.

“Saya rasa puas sebab AJL itu pentas berprestij jadi bukan matlamat saya untuk menang tetapi menunjukkan bakat,” katanya.

Juara Akademi Fantasia 2011 berkata AJL kali ini memberi kelainan apabila isterinya lebih giat dalam membuat persiapan persembahan.

Katanya, tiada lagi ego seperti lima AJL lepas apabila ideanya sendiri mendominasi keseluruhan persembahan. 

“Lima tahun sebelum ini saya menjaga dari segi persembahan dan susunan muzik tetapi tahun ini saya lebih terbuka.

“Sebelum ini saya lebih mementingkan idea sendiri. Mungkin itu satu sebab mengapa ia tidak berhasil.

“Tahun ini dia [Genervie] beri penglibatan lebih kerana saya agak sibuk dan dia sudah tahu apa yang saya mahu.

“Jadi saya biarkan dia yang menyiapkan susunan muzik dan persembahan. Saya pula menekankan kepada kualiti nyanyian saya,” katanya.

Iklan

Iklan

MMO Instagram