Last updated Monday, September 26, 2016 1:26 pm GMT+8

Thursday September 22, 2016
12:00 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Ong Kim Swee memanggil lima pemain baharu untuk skuad Harimau Malaysia. — Foto BernamaDatuk Ong Kim Swee memanggil lima pemain baharu untuk skuad Harimau Malaysia. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 22 Sept  — Pemain lincah Kedah, Mohd Syazwan Zainon adalah antara lima muka baharu yang dipanggil pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa bulan depan.

Selain Mohd Syazwan, turut dipanggil menyertai kem yang bermula 27 Sept ini bagi perlawanan menentang Singapura dan Afghanistan ialah seorang lagi pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak), Muhammad Hadin Azman (Felda United) dan Ahmad Khuzaimi Pee (Melaka). 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata kehadiran lima muka baharu itu adalah bagi menggantikan empat pemain yang digugurkan iaitu Brendan Gan dan Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Mohammad Amer Saidin (JDT II) serta Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka).

Selain itu, Kim Swee memutuskan untuk mengekalkan 20 pemain yang menyertai kem latihan ketika menentang Indonesia pada 6 Sept lepas, termasuk pemain Perak Nazirul Naim Che Hasim yang mengalami kecederaan ketika sesi latihan berkenaan.

“Saya menyenaraikan 25 pemain kali ini kerana kita bakal menghadapi dua perlawanan. Pemain baharu seperti Fazrul Hazli, Hadin, Khuzaimi, Rizal dan Syazwan mempunyai peluang membuktikan kemampuan mereka dalam dua perlawanan ini untuk tersenarai ke Piala AFF 2016.

“Selain Brendan yang digugurkan kerana kecederaan, tiga pemain yang digugurkan iaitu Wan Zack, Amer dan Khair, bukan bermakna mereka terkeluar terus tetapi saya ingin melihat pemain lain supaya mereka diberi peluang yang sama.

“Saya tidak boleh senaraikan semua 28 pemain kali ini. Lagipun saya sudah mengetahui kemampuan Wan Zack, Amer dan Khair, jadi yang penting saya harus memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Kumpulan pertama 12 pemain yang disenaraikan perlu melapor diri di Wisma FAM pada 27 Sept manakala baki 13 pemain dari Kedah, PDRM, Selangor dan T-Team yang terlibat dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia serta pemain JDT yang beraksi di separuh akhir pertama Piala AFC, akan berbuat demikian pada 2 Okt.  

“Saya memilih memulakan kem latihan pusat lebih awal pada 27 Sept ini kerana 12 pemain yang tidak terbabit dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia dan Piala AFC kebanyakannya adalah di posisi pertahanan.

“Shahrul, Ronny, Matthew, Nazirul Naim, Khuzaimi dan Rizal adalah pemain pertahanan, jadi ini memberi peluang untuk saya bekerja lebih dan fokus kepada bahagian ini di mana saya boleh melakukan lebih banyak latihan berkumpulan.

“Jadi apabila baki 13 pemain lain melapor diri pada 2 Okt, saya boleh terus mempraktikkan keseluruhan taktikal,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee berkata perlawanan antarabangsa ‘A’ menentang Singapura pada 7 Okt di Stadium Nasional Singapura dan Afghanistan pada 11 Okt di Stadium Shah Alam, adalah medan penilaian terakhir terhadap pemain sebelum disenaraikan untuk fasa latihan terakhir Piala AFF Suzuki, Nov ini. 

“Pada masa sama, kita juga perlu mendapatkan keputusan positif kerana ia penting dalam menentukan kedudukan ranking pada kemas kini seterusnya pada 20 Okt,” katanya.

Malaysia menghuni tangga ke-158 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 15 Sept lepas, naik sembilan anak tangga daripada kedudukan 167 pada Julai lepas.

Ranking September itu menyaksikan skuad Harimau Malaysia berada setanding dengan beberapa negara lain seperti Grenada (156), Barbados (157), Kuwait (159) dan Aruba di tangga ke-160.

Dalam kalangan negara ASEAN pula, skuad bola sepak negara berada di belakang Filipina (125), Thailand (135), Vietnam (141), Myanmar (153) dan Singapura (155).

Bagaimanapun, kedudukan Malaysia dijangka merosot bulan depan susulan kekalahan 3-1 kepada Indonesia, yang menduduki ranking ke-181, dalam perlawanan persahabatan pada 6 Sept lepas. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline