Thursday September 14, 2017
10:37 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Presiden AS Donald Trump meyambut Datuk Seri Najib Razak di Rumah Putih Washington, 13 September 2017. — Foto ReutersPresiden AS Donald Trump meyambut Datuk Seri Najib Razak di Rumah Putih Washington, 13 September 2017. — Foto ReutersKUALA LUMPUR, 14 Sept — Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) yang baru sahaja berakhir merupakan petunjuk penting bahawa Malaysia tidak memihak kepada mana-mana negara tertentu dalam membangunkan ekonominya.

Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan berkata dengan lonjakan pelaburan dari China, Malaysia dilihat sebagai lebih cenderung ke arah Beijing, tetapi lawatan ini membuktikan bahawa ia tidak memihak kepada mana-mana negara.

Bagaimanapun, katanya, lebih banyak maklumat mengenai hasil lawatan itu diperlukan bagi memastikan bagaimana Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya, sambil menambah beliau terkejut pengumuman setakat ini lebih menumpukan kepada cadangan pembelian dan pelaburan Malaysia di AS.

“Kita perlu mengetahui apa yang diraih Malaysia daripada lawatan ini,” katanya semasa mengulas mengenai lawatan tiga hari Najib ke Washington DC yang berakhir pada Rabu di mana semasa kunjungannya beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden AS Donald Trump di Rumah Putih.

Semasa mesyuarat delegasi, Najib berkata syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines akan membeli 16 pesawat Boeing, dengan hak pembelian tambahan lapan pesawat, serta besar kemungkinan syarikat penerbangan itu akan menambah 24 atau 25 lagi pesawat dalam tempoh terdekat.

Selain itu, Najib juga mengumumkan hasrat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menambahkan pelaburannya antara US$3 bilion dan US$4 bilion di AS selain pelaburan sedia adanya yang berjumlah hampir US$7 bilion.

Mengulas mengenai perkara ini, seorang pakar ekonomi yang enggan namanya disiarkan berkata KWSP sentiasa melabur di luar negara sebagai sebahagian daripada strategi pelaburan luar negaranya dan melihat kepada situasi semasa di negara-negara maju lain, AS menjadi pilihan yang jelas buat masa ini.

Jepun masih berdepan dengan isu penuaan populasi mereka manakala pemulihan di zon Eropah juga masih baharu selain masih dibebani dengan isu Brexit (Britain keluar dari Kesatuan Eropah), katanya.

Mengenai cadangan pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines, Wan Saiful berkata lebih banyak maklumat diperlukan tentang bagaimana syarikat penerbangan nasional itu akan menggunakan pesawat-pesawat baharu tersebut.

“Malaysia Airlines perlu menjelaskan bagaimana pembelian ini sesuai dengan pelan perniagaan mereka,” katanya. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline