Saturday August 5, 2017
8:50 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Hampir semua stesen MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) mempunyai akses terdekat ke pusat-pusat membeli-belah. ― Foto oleh Yusof Mat IsaHampir semua stesen MRT laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) mempunyai akses terdekat ke pusat-pusat membeli-belah. ― Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 5 Ogos ― Tidak dinafikan ada individu mahu menghilangkan tekanan di tempat kerja mahupun di rumah dengan bersiar-siar atau menonton wayang di pusat membeli-belah sama ada berseorangan mahupun bersama keluarga atau rakan-rakan.

Hakikatnya, faktor kesesakan lalu lintas, kos bahan api, parkir, tol serta masa yang terpaksa dihadapi untuk ke destinasi yang dituju membuatkan sebahagian daripada kita berkira-kira untuk memandu ke sana dan mungkin menambahkan lagi stres sedia ada.

Namun, sebaik sahaja pengangkutan awam terbaru, Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) fasa dua dibuka pada 17 Julai lepas, rata-rata rakyat Malaysia berasa teruja apabila hampir semua stesen perkhidmatan itu mempunyai akses terdekat ke pusat-pusat membeli-belah.

Lebih 40 pusat membeli-belah boleh diakses melalui MRT antaranya Lot 10, Sungei Wang Plaza, Pavilion dan Fahrenheit 88 di stesen MRT Bukit Bintang; Kota Raya, Pasar Seni dan Petaling Street (stesen Pasar Seni); Aeon Maluri dan Sunway Velocity (stesen Maluri) ; The Curve dan IPC (stesen Mutiara Damansara); serta Cheras Sentral (stesen Taman Connaught).

Mengambil contoh stesen MRT Cochrane, pengguna MRT mendapat laluan mudah ke tiga pusat membeli-belah popular iaitu Ikea dengan jarak berjalan kaki hanya 300 meter (m) dari stesen itu manakala MyTown (200m) dan Aeon Big Jalan Peel (650m).

Lebih menarik lagi apabila perkhidmatan MRT itu turut menyambungkan laluan ke destinasi-destinasi menarik antaranya hidangan sate Kajang yang terletak hanya 100 meter dari stesen MRT Stadium Kajang.

Pelajar jurusan Kewangan di Universiti Teknologi Mara Puncak Alam, Nur Aini Husna Husaini, 21, meluahkan rasa lega apabila mendapat tahu kebanyakan pusat membeli-belah yang selalu dikunjunginya seperti 1Utama dan Pavilion Kuala Lumpur kini sudah mempunyai sambungan MRT.

“Selalunya, dari rumah saya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras ke Pavilion Kuala Lumpur, saya perlu memandu hingga 30 minit dan ada kalanya mencecah satu jam disebabkan kesesakan jalan yang begitu teruk.

“Selepas ada (stesen) MRT Bukit Bintang, masa yang diambil untuk ke sana (Pavilion) kurang 30 minit sahaja. Ia bukan sahaja menjimatkan kos minyak malah dapat kurangkan stres di atas jalan juga,” katanya ketika ditemui Bernama di stesen MRT Cochrane, di sini, baru-baru ini.

Pesara kerajaan, Harith Abd Razim, 58, juga gembira dengan kewujudan stesen MRT berkenaan yang berdekatan dengan pelbagai pusat membeli-belah sambil menyifatkannya sebagai “mudah, jimat dan berbaloi” untuk mereka sekeluarga meluangkan masa bersama-sama.

“Baru-baru ini, kami menaiki MRT Bukit Bintang hingga ke stesen MRT Kajang untuk menikmati sate. Perjalanan kami ke sana hanya ambil masa kurang 30 minit berbanding memandu sendiri yang sememangnya memakan masa lebih satu jam jika trafik sesak...memang meletihkan.

“Anak-anak kami juga sudah merasai pengalaman menaiki MRT dan sudah tentu saya akan sentiasa menggalakkan mereka untuk gunakan perkhidmatan ini jika hendak ke mana-mana,” katanya.

Bagi peguam yang menetap di Rawang, Ahmad Sharil Ramli, 25, berkata kewujudan MRT membolehkannya keluar membeli-belah tanpa perlu memikirkan bayaran parkir serta masalah kekurangan tempat letak kereta.

“Selalunya saya akan ke Nu Sentral atau KLCC memandangkan ianya mempunyai akses pengangkutan awam yang lebih mudah seperti LRT (Transit Aliran Ringan) dan sekarang pula kalau hendak ke 1Utama pun senang kerana sudah ada MRT Bandar Utama,” katanya yang akan meletakkan kenderaannya di Park N’ Ride di stesen MRT Sungai Buloh.

Ahmad Sharil juga berpuas hati dengan keupayaan pihak MRT yang berjaya menyediakan perkhidmatan tren yang begitu selesa dan bersih di samping ruang gerabak yang luas serta kekerapan setiap tren yang menepati masa. ― Bernama

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline