Last updated Wednesday, September 28, 2016 8:09 pm GMT+8

Thursday September 22, 2016
10:16 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia juga tertakluk kepada undang-undang. — Foto ReutersTan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia juga tertakluk kepada undang-undang. — Foto ReutersSINTOK, 22 Sept  — Malaysia tidak mungkin menjadi sebuah negara polis memandangkan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia juga tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Perlembagaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dakwaan yang dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mempersoalkan sama ada Malaysia sudah menjadi negara polis apabila Khalid dikatakan seolah-olah tidak boleh ditegur, ternyata tidak berasas.

“Negara kita tidak boleh menjadi negara polis kerana jika kita tidak patuhi undang-undang kita akan diambil tindakan. Macam mana negara ini menjadi negara polis, kami juga subjek kepada peraturan Perlembagaan dan undang-undang begitu juga Anggota Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Dialog Bersama Ketua Polis Negara: Peranan Mahasiswa Dalam Menangani Ancaman Keselamatan Negara di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini. 

Semalam, Lim dalam sebuah portal berita mendakwa Khalid dengan angkuh memberi amaran kepada Teo Nie Ching yang mendesak polis menjalankan siasatan segera berhubung satu dakwaan ugutan terhadap pemimpin BERSIH 2 Maria Chin Abdullah, supaya tutup mulut. 

Khalid berkata beliau bukannya menghalang Teo daripada bersuara, sebaliknya hanya bertanya kembali kenapa Anggota Parlimen Kulai itu tidak mempersoalkan tindakan beliau (Khalid) yang tidak menahan Maria Chin yang turut melanggar undang-undang.  

“Nampak dia (Teo) cuba politikkan isu ini, kalau nak tegur membina saya terima tapi kalau nak jatuhkan kita nak tuduh seperti berat sebelah itu saya tidak boleh terima,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beliau tidak menafikan terdapat usaha merekrut mahasiswa untuk menyertai militan Daesh namun pihaknya melalui pasukan khas Bukit Aman sentiasa bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi dalam membanteras cubaan tersebut.  

“Mereka (Daesh) akan pengaruhi sesiapa sahaja seperti mahasiswa dan mereka yang mempunyai masalah, kerana mereka ini selalu memerlukan bahu untuk bersandar, kalau mereka (Daesh) bagi macam-macam, dia (mahasiswa) akan terpengaruh dengan apa jua dakyah,” katanya. 

Terdahulu, Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya berkata kajian UUM melalui Institute for Youth Research (IYRES) yang dijalankan oleh pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) UUM mendapati bahawa wujud potensi penerimaan mahasiswa terhadap Daesh walaupun jumlahnya kecil.

“Kajian ini merupakan ‘pioneer’ (perintis) dalam bidang yang melibatkan Daesh dan ianya merangkumi jumlah responden seramai 2,000 orang yang dibahagikan mengikut empat zon di seluruh Semenanjung Malaysia.  

“Didapati 15.1 peratus responden menghormati fahaman Daesh, sanggup menyumbang tenaga (19.5 peratus), mengiktiraf balasan syurga untuk perjuangan Daesh (9.3 peratus) dan 7.9 peratus sanggup menderma untuk Daesh,” katanya.

Justeru, beliau berkata ancaman Daesh perlu segera dibendung melalui langkah konkrit seperti memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai Daesh kerana mahasiswa tidak mempunyai gambaran yang sebenar mengenai bahaya ancaman tersebut.  — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline