Tuesday November 7, 2017
8:28 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Mat Nadzari berkata kesalahan pada perincian Butir-butir Anggaran Hasil Bagi Tahun 2018 tidak sepatutnya berlaku. ― Foto oleh Choo Choy MayMat Nadzari berkata kesalahan pada perincian Butir-butir Anggaran Hasil Bagi Tahun 2018 tidak sepatutnya berlaku. ― Foto oleh Choo Choy MaySHAH ALAM, 7 Nov — Barisan Nasional (BN) Selangor kesal dengan kecuaian kerajaan negeri berkaitan kesilapan percetakan butiran dalam Buku Anggaran Perbelanjaan Selangor 2018.

Penyelaras Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata kesalahan pada perincian Butir-butir Anggaran Hasil Bagi Tahun 2018 termasuk membabitkan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi dalam dokumen penting berkenaan perbelanjaan kerajaan negeri.

“Hari ini kerajaan negeri keluarkan satu notis kepada kami (Adun) yang mengakui ada ralat di situ, jadi saya berpendapat kesalahan seperti ini tidak sepatutnya dibenarkan kerana ini membabitkan dokumen penting.

“Saya rasa ralat ini menunjukkan satu bukti prima facie…bukti nyata yang jelas ada ketidakcermatan dan ketidakcekapan dalam mengendalikan bajet ini. 

"Apabila dibuat pembetulan ia menimbulkan keraguan,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, sebelum sidang DUN bermula, semua Adun diedarkan notis ralat, surat pemakluman ralat dan jadual pembaharuan Butir-butir Anggaran Hasil Bagi Tahun 2018.

Adun Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak pula berkata kesalahan yang tidak mengikut Perlembagaan itu boleh menyebabkan Belanjawan Selangor 2018 tidak diluluskan.

Jelasnya, berdasarkan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan, semua hasil kerajaan negeri daripada mana-mana sumber mesti dimasukkan dalam kumpulan wang yang disatukan.

“Kita tidak boleh terima perkara ini dengan membuat ralat kerana ini satu kecuaian yang sangat besar oleh pihak kerajaan negeri. 

"Saya yakin bila (Adun) Batang Kali (Mat Nadzari) bangkitkan mengenai perkara ini semalam kerajaan negeri menyedari perkara ini maka ralat dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya siasatan boleh dilakukan.

Semalam, ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2018, Mat Nadzari menggesa kerajaan negeri mengisytiharkan jumlah peruntukan Marris yang diterima sejak 2012 sehingga kini.

Ini berikutan peruntukan akaun bukan hasil kerajaan negeri tidak merekodkan penerimaan wang Marris sedangkan kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan itu antara RM400 juta hingga RM500 juta setiap tahun. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline