Thursday September 14, 2017
8:04 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Perpaduan hanya berlaku dalam masa singkat seperti ketika memberikan sokongan kepada atlet atau pasukan Malaysia yang bertanding dalam sesuatu kejohanan. — Foto oleh Yusof Mat IsaPerpaduan hanya berlaku dalam masa singkat seperti ketika memberikan sokongan kepada atlet atau pasukan Malaysia yang bertanding dalam sesuatu kejohanan. — Foto oleh Yusof Mat IsaSERDANG, 14 Sept — Di sebalik pelbagai andaian, tahap kesepaduan rakyat berbilang etnik, agama dan budaya di negara ini sebenarnya telah berada di tahap 80 peratus, demikian kata Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata kesepaduan tersebut merangkumi aspek budaya, makanan, pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata perkara itu bagaimanapun seolah-olah tidak diperakui dan disedari ramai serta tidak diberikan perhatian kerana masyarakat hanya tertumpu kepada pencapaian dari segi perpaduan.

"Kesepaduan biasanya terhasil secara tanpa sedar, contohnya dalam budaya dan makanan yang saling pinjam-meminjam di mana masyarakat secara jelas tidak lagi mempersoalkan ia budaya atau makanan kaum mana.

"Yang menjadi masalah ialah ramai yang tidak mahu mengakui kebenarannya," katanya yang merujuk kepada dapatan hasil kajian oleh Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel pada dialog Wacana Ilmuan, Negaraku Malaysia: Di Mana, Ke Mana Kita? yang dianjurkan MPN di dewan utama Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.

Dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selaku moderator, dialog itu disertai Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN Prof Datuk Dr Teo Kok Seong; Setiausaha Kluster Perpaduan Nasional MPN Prof Dr Sivamurugan Pandian; Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim UKM Prof Madya Dr Madeline Berma, Prof Madya Dr Awang Asri Awang Ibrahim daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Prof Madya Dr Sarjit Singh Darshan Singh daripada UPM.

Mengenai perpaduan, Shamsul Amri yang juga pengarah KITA berkata aspek itu ada tetapi kewujudannya tidak sekukuh dan seteguh sepertimana yang diharapkan.

Beliau berkata ketika ini perpaduan hanya berlaku dalam masa singkat seperti ketika memberikan sokongan kepada atlet atau pasukan Malaysia yang bertanding dalam sesuatu kejohanan, namun perkara itu tidak terjadi secara menyeluruh dalam semua segmen kehidupan.

Sebab itu, kita perlu perbanyakkan detik-detik perpaduan dalam kalangan masyarakat dan ia boleh terhasil melalui kajian sosial oleh para akademia, katanya.

Dr Sivamurugan turut mempersoalkan sama ada detik perpaduan yang ditunjukkan adalah sesuatu yang 'palsu' kerana ia hanya hadir dalam keadaan tertentu tetapi menjadi terlalu sukar untuk diterjemahkan dalam sudut yang lebih luas.

Beliau menekankan mengenai kepentingan bahasa Melayu dijadikan alat perpaduan kerana yakin jika diperkukuhkan, elemen bahasa mampu menjadi 'senjata' yang mampu membina negara bangsa yang lebih berjaya.

Sementara itu, seorang panel pemerhati Dr. Arnold Puyok daripada Sarawak berpendapat aspek perpaduan boleh dibina jika satu kempen mengenai kandungan dan kepentingan Perlembagaan negara dipromosikan dengan lebih menyeluruh.

Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata jika Perlembagaan difahami dengan baik, persoalan mengenai hak dan had sesuatu negeri sehingga timbulnya isu seperti "Sarawak for Sarawakian dan Sabah for Sabahan" tidak mungkin terjadi jika pihak yang mencetuskannya memahami dengan baik hak masing-masing.

Isu tersebut sedikit-sebanyak menggoyah perpaduan yang ingin dibina sedangkan ia boleh diselesaikan melalui proses diplomasi berasaskan perkara yang terkandung di dalam Perlembagan, katanya. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline