Saturday March 18, 2017
1:19 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Seramai 42 pasangan pengantin baru bergambar bersama selepas Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie peringkat negeri Perak di Seri Iskandar, 16 September 2016. — Foto BernamaSeramai 42 pasangan pengantin baru bergambar bersama selepas Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie peringkat negeri Perak di Seri Iskandar, 16 September 2016. — Foto Bernama

KUALA TERENGGANU, 18 Mac — Kejayaan Program Perkahwinan Perdana anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang melibatkan 217 pasangan pengantin tahun lepas diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta.

Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata pihaknya menyasarkan 480 pasangan untuk tahun ini.

“Maklum balas yang diterima sangat positif kerana program ini dapat mempercepatkan proses pernikahan bakal pengantin yang berpendapatan bawah RM3,000 dan mengurangkan beban kewangan keluarga untuk mengadakan kenduri kerana pengantin akan diraikan dalam majlis khas untuk hari bersejarah itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya syarat untuk program tahun ini juga sama seperti tahun lepas antaranya pasangan atau seorang daripada mereka adalah anak Terengganu dan perkahwinan itu adalah kali pertama.

“Pasangan juga tiada rekod jenayah dan tiada masalah kesihatan yang kritikal seperti HIV, AIDS atau penyakit kelamin yang boleh mendatangkan masalah kepada pasangan,” katanya. 

Kesemua pasangan perlu lulus kursus praperkahwinan Modul Bersepadu Kursus Perkahwinan Islam kendalian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM) atau agensi yang diiktiraf oleh kerajaan.

Borang permohonan akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat dan bakal pengantin perlu ke pejabat YPKT di setiap daerah untuk memohon, katanya.

Katanya program cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman itu bertujuan antara lain menangani budaya kahwin lewat, kos pengurusan perkahwinan yang tinggi selain mengurangkan gejala sosial dalam kalangan generasi muda. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline