Tuesday December 12, 2017
2:33 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Evelyn Ang Gek Suan (kanan) parah selepas dirempuh sebuah kereta dari arah belakang ketika menyertai Larian Klang City International Marathon, 10 Disember 2017. — Foto ihsan Facebook/August Man RunEvelyn Ang Gek Suan (kanan) parah selepas dirempuh sebuah kereta dari arah belakang ketika menyertai Larian Klang City International Marathon, 10 Disember 2017. — Foto ihsan Facebook/August Man RunKLANG, 12 Dis — Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendakwa insiden rempuhan tiga peserta Klang City International Marathon pada Ahad lepas berpunca daripada kawalan keselamatan yang lemah oleh pihak penganjur.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata penganjur sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap kawalan keselamatan lalu lintas di jalan yang dilalui peserta.

"Penganjur hanya mengemukakan permohonan untuk menyewa padang di Kompleks Sukan Pandamaran kepada MPK dan menjadi tanggungjawab penganjur untuk menjamin keselamatan peserta.

“MPK di hari yang sama pula terlibat dengan pelbagai program sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-72 di Istana Alam Shah di sini dan tidak dapat menyediakan bantuan yang sewajarnya," katanya pada majlis Pecah Tanah Bulatan 100 di sini hari ini.

Dalam kejadian rempuhan oleh kereta jenis Proton Iswara pada 4.30 pagi di Jalan Kapar Batu 2 itu, Evelyn Ang Gek Suan, 44, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan rahang, manakala dua lagi pelari, Ahmad Hadafi Jus, 44, dan Amiruddin Hamid, 37, hanya cedera ringan di bahagian kaki.

Tambah Mohamad Yasid, penganjur juga dilihat tidak melakukan hebahan yang meluas kepada penduduk sekitar kawasan yang menjadi laluan peserta larian itu.

"Penganjur perlu meletakkan antaranya papan tanda, kawalan keselamatan di setiap persimpangan dan kain rentang di sepanjang laluan untuk mengingatkan pengguna jalan raya bahawa acara larian sedang dijalankan," katanya.

Bagaimanapun Mohamad Yasid berkata pihaknya tidak akan menghalang mana-mana penganjur untuk mengadakan acara sedemikian pada masa depan tetapi berharap penganjur dapat memastikan kawalan keselamatan yang cukup kepada para peserta.

Sementara itu mengulas mengenai majlis pecah tanah itu, Mohamad Yasid berkata, kawasan bulatan berkenaan akan dinaik taraf oleh pusat pemborong terkenal, GM Klang dengan kos kira-kira RM300,000.

"Bulatan ini akan diindahkan dengan pelbagai landskap baharu seperti pokok bunga dan pelbagai pokok hiasan. Projek ini akan bermula pada Januari depan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac kelak.

"Kerja naik taraf ini akan dilakukan sepenuhnya oleh pihak GM Klang dan MPK akan memantau dan menyelengggara kawasan ini dari semasa ke semasa," katanya. — Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline