Tuesday July 18, 2017
7:59 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Penyelam Fazry Kamarudin bergambar dengan cenderahati dan rumah ikan Nemo selepas majlis pelancaran Kampung Nemo yang disempurnakan Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.—Foto BernamaPenyelam Fazry Kamarudin bergambar dengan cenderahati dan rumah ikan Nemo selepas majlis pelancaran Kampung Nemo yang disempurnakan Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.—Foto Bernama

KUANTAN, 18 Julai — ’Kampung Nemo’  yang merupakan perkampungan khusus untuk ikan badut di perairan Kuantan bakal menjadi produk pelancongan marin baharu Pahang bagi menarik kehadiran pelancong peminat aktiviti selam skuba.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata ‘kampung’ seluas sebuah padang bola sepak itu terletak di kedalaman antara lapan hingga 14 meter dari permukaan laut dan dikenal pasti sebagai habitat kepada ikan tersebut.

Kampung Nemo terletak kira-kira lapan kilometer dari Pantai Balok di sini dan buat masa ini mempunyai 14 buah ‘rumah’ yang merupakan tukun tiruan diperbuat daripada antaranya silika, kalsium karbonat dan perlite, iaitu batu gunung berapi.

“Perkampungan ini akan menjadi destinasi baharu kepada penyelam skuba yang mempunyai pilihan sama ada mahu melakukan aktiviti riadah itu di pulau iaitu Pulau Tioman atau di pantai yang lebih mudah untuk dikunjungi.

“Kita juga akan berbincang dengan Jabatan Laut jika perkampungan Nemo ini sesuai untuk diwartakan sebagai Taman Laut, jika semua kriteria yang ada dipenuhi bagi memberi nilai tambah kepadanya,” katanya di sini semalam.

Mohd Sharkar berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Kampung Nemo yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pasdec Holdings Berhad (PASDEC) Datuk Zuber Shamsuri dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pahang (MOTAC Pahang) Datuk Idros Yahya.

Beliau menambah idea mewujudkan kampung itu dicetuskan Zuber yang mahu melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) luar daripada kebiasaan bersama dengan MOTAC Pahang dengan bantuan rakan strategik De Rhu Beach Resort dan Muck Dive Scuba.

“Kerjasama ini diterjemahkan dengan 10 perumahan PASDEC, sebuah pejabat baharu MOTAC Pahang dan tiga buah inap desa di dalam perkampungan itu yang dapat dilihat menerusi papan tanda pada setiap satu tukun.

“Kita juga mengalu-alukan jika ada syarikat atau individu yang berminat untuk mendirikan rumah di dalam kampung ini pada kos sekitar RM3,000 sebuah, untuk sama-sama menjaga ekosistem dan keindahan hidupan marin,” katanya.

Sementara itu, Zuber berkata PASDEC berharap kampung itu akan mendapat sambutan daripada kaki selam sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada pengusaha penginapan dan penduduk di sekitar Balok dan Kuantan.

“Kami juga berharap inisiatif ini akan mendidik dan memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan menghargai keindahan perairan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk ekopelancongan,” katanya. — Bernama

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline