Sunday October 8, 2017
1:00 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Seri Hasmiza Othman meletakkan harapan yang tinggi dan muluk pada bakal suami agar sukar meraih cinta semula. — Foto BernamaDatuk Seri Hasmiza Othman meletakkan harapan yang tinggi dan muluk pada bakal suami agar sukar meraih cinta semula. — Foto BernamaSHAH ALAM, 8 Okt — Datuk Seri Hasmiza Othman mendedahkan jejaka bermata kelabu dijadikan alasan untuk mengelak daripada terus dilamun cinta.

Hasmiza, mesra juga disapa Vida, berkata hakikat sebenarnya beliau berasa sudah serik dan trauma untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

“Saya serik. Trauma pun ada. Mungkin saya tidak sesuai berpasangan atau hidup ini tidak boleh mencapai kesempurnaan. Mungkin lebih di sini, kurang di situ.

“Saya saja meletakkan penanda aras tinggi supaya saya tidak mudah menerima cinta. Saya letak [suami] mata kelabu supaya saya tidak mudah jatuh cinta.

“Penanda aras itu tinggi dan cukup-cukuplah,” katanya, yang dikenali dengan produk Qu Puteh dan Pamoga, dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.

Pengasas syarikat kosmetik Vida Beauty sebelum ini dilaporkan mahu mencari calon suami yang kaya, bermata kelabu dan suka membeli-belah.

Beliau menetapkan syarat itu selepas tiga kali gagal dalam perkahwinan.

Beliau juga dilaporkan menerima 50 emel “resume” menyatakan niat untuk memperisterikannya termasuk dari Finland dan Scotland.

Hasmiza, 46, berkata hasrat untuk menangguhkan soal perkahwinan turut disokong dua anaknya yang bimbang ibu mereka dipergunakan.

“Anak-anak tidak mahu [bapa baru] sebab nanti lelaki itu hanya mahu duit saya. Mereka tidak benarkan kerana tidak mahu saya bersedih. 

“Saya sebenarnya tidak fikir tetapi kalau ada jodoh, saya terima tetapi mungkin bukan dalam masa terdekat.

“Saya mahu kejayaan perniagaan di Indonesia dan Timur Tengah dahulu,” katanya.

Sementara itu, Hasmiza berkata pelajar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat akan dibawa mengerjakan umrah seawal minggu depan.

Katanya, pelajar itu juga akan ditawarkan biasiswa jika mereka mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Saya bukan mencari publisiti tetapi mengikut gerak hati. Saya bawa mereka mengerjakan umrah kerana saya perlukan doa yang dimakbulkan.

“Saya biasanya setiap tahun mengerjakan umrah tetapi tidak dua tahun kebelakangan ini. Jadi ini sebagai menggantikan semula,” katanya.

Hasmiza berkata kolej tahfiz miliknya di Tanah Merah, Kelantan dijangka siap hujung tahun ini dan bakal memulakan operasi dalam tempoh setahun lagi.

Katanya, kolej itu nanti akan memberi peluang kedua kepada pelajar yang gagal melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

“Kolej ini dijangka akan menjadi rujukan pusat tahfiz di Malaysia. Silibusnya saya ambil dari Universiti Al-Azhar.

“Pengajian dibuka kepada pelajar pasca tahfiz. Kemasukan dijangka pada 2018 dengan penyertaan 200 pelajar. Saya tanggung semuanya insya Allah,” katanya.

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline