Monday June 19, 2017
8:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Penganalisis berkata campur tangan perundangan terhadap bidang kehakiman menjejaskan integriti konsep pengasingan kuasa. — Foto ReutersPenganalisis berkata campur tangan perundangan terhadap bidang kehakiman menjejaskan integriti konsep pengasingan kuasa. — Foto ReutersKUCHING, 19 Jun — Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam diminta supaya memberi perhatian serius terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang membatalkan tindakan DUN itu yang melucutkan kedudukan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut.

Penganalisis sosiopolitik di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini perlu demi menentukan DUN itu tidak mengulangi kesilapan hingga memberi implikasi negatif kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Ini juga untuk memastikan amalan pengasingan kuasa jelas dan tidak ditafsirkan secara sempit oleh parti politik, penasihat dan penggubal undang-undang, kata beliau.

Beliau berkata, amalan pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi penting untuk dipelihara dan diamalkan.

“Pengasingan kuasa tiga badan – eksekutif, perundangan dan kehakiman – adalah untuk memastikan sistem keadilan yang telus, berintegriti tinggi dan dihormati,” katanya kepada Bernama, ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau berkata DUN sebagai badan yang menggubal undang-undang tidak boleh bertindak sebagai hakim kerana ia mencampuri urusan badan lain, iaitu kehakiman.

“Ini bertentangan dengan amalan demokrasi sebenar dan bersifat campur tangan yang tidak perlu sedangkan tiga badan ini mempunyai fungsi dan tugas tersendiri dan tidak boleh bertindih, diganggu dan dipengaruhi oleh badan yang lain,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa campur tangan perundangan terhadap bidang kehakiman menjejaskan intergriti konsep pengasingan kuasa dan menambah ia perlu dielakkan agar tidak menjurus kepada aspek salah guna kuasa dan percubaan untuk monopoli terhadap badan yang lain.

Kesannya seperti yang berlaku dalam kes membabitkan Dr Ting apabila pihak mahkamah mendapati telah berlaku pelanggaran terhadap prinsip asas dalam doktrin tersebut.

Sementara itu, pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi itu sebagai kemenangan untuk keadilan.

Katanya, hakim telah membuat keputusan yang menyenangkan pihak yang menghargai demokrasi dan keadilan. — Bernama

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline