Friday August 4, 2017
8:47 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Jurufoto Bernama Mazlan Samion bersama hasil karya bertajuk 'Jalan ke Jannah' yang memenangi hadiah pertandingan Fotografi Antarabangsa anjuran Muzium Kesenian Islam (IAMM) baru-baru ini. — Foto BernamaJurufoto Bernama Mazlan Samion bersama hasil karya bertajuk 'Jalan ke Jannah' yang memenangi hadiah pertandingan Fotografi Antarabangsa anjuran Muzium Kesenian Islam (IAMM) baru-baru ini. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 4 Ogos — Kata orang, “Sekeping gambar membawa seribu kata-kata.” Hakikatnya, foto menunjukkan kenyataan, malah pada zaman serba canggih ini, foto juga boleh “menipu.”

Namun bagi pemenang pertandingan Fotografi Antarabangsa anjuran Muzium Kesenian Islam (IAMM) Mazlan Samion, 40, etika sebagai jurufoto sangat penting dan perlu dipatuhi.

Berkat minat, komitmen dan kegigihan beliau dalam menjalankan tugas, jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ini berjaya memenangi beberapa pertandingan melalui foto-fotonya yang kelihatan "hidup."

Karya beliau yang bertajuk "Jalan ke Jannah" memenangi pertandingan IAMM bertemakan "Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara" baru-baru ini. Beliau merakam foto berkenaan sempena sambutan Nuzul Al-Quran pada 2015.

Foto harus realistik

Mazlan sangat menitikberatkan pematuhan etika dalam pelbagai aspek ketika bekerja melindungi dan menghormati sensitiviti masyarakat.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini yang pernah bertugas di Lahad Datu Sabah ketika berlakunya pencerobohan pengganas menegaskan, dalam bidang kewartawanan, etika sebagai jurufoto perlu dipatuhi.

“Setiap saat yang diambil haruslah realistik. Sebagai seorang wartawan foto, kami diajar untuk tidak ‘menipu.’ Foto yang dirakam hendaklah real (sebenar), tidak boleh dibuat-buat atau diulang. Maksudnya selepas mengambil gambar sesuatu subjek, kita tidak patut mengubahnya dengan menggunakan teknik superimpose atau sebagainya,” tambah Mazlan.

Setiap saat yang dirakam akan diabadikan terus mengikut masa kejadian, kelajuan pergerakan subjek dan situasi yang tepat.

Lakukan sepenuh hati

Mazlan berkata setiap kerja atau tugasan hendaklah dilakukan dengan penuh minat dan sebaik mungkin untuk mendapatkan hasil yang membanggakan. Begitu juga dengan kerjaya sebagai jurufoto.

Ketika ditemubual dalam segmen "Inspirasi Pagi" program NINE11 yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama News Channel (BNC) baru-baru ini, Mazlan berkata: “Dalam apa jua bidang, kalau ada minat, kita mesti buat yang terbaik.”

“Dalam mindset, kita akan berusaha untuk membuat sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang ramai, masyarakat dan lakukannya sepenuh hati (all-out).”

“Ilmu akan hadir apabila seseorang itu belajar, namun pengalamanlah yang mematangkan individu. Pengalaman mengajar saya untuk berdepan dengan subject matter. Kita hendaklah buat kajian agar lebih bersedia apabila melakukan tugasan atau berdepan dengan subjek,” katanya.

Duta kecil negara

Menurut Mazlan, seseorang jurufoto hendaklah berani untuk mendapatkan foto yang cantik dan sesuai untuk tatapan umum.

Wartawan foto di Bernama, tambah beliau, adalah ibarat ‘duta kecil’ bagi negara memandangkan foto yang diambil menjadi sumber pelbagai media di dalam dan luar negara.

Mazlan memberikan satu contoh tugasan berprofil tinggi di Honolulu, Hawaii iaitu ketika Mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada 2011.

Antara yang menyertai mesyuarat itu adalah Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pengawal peribadi presiden itu mengarahkan saya supaya keluar dari kawasan itu, sedangkan ketika itu juga kelihatan Obama akan bersalaman dengan ketua-ketua-ketua kerajaan. Malangnya kedudukan Obama membelakangi saya. Jadi, saya meminta kebenaran untuk mendapatkan kedudukan lebih baik dan mengambil gambar saat itu. Mereka benarkan untuk beberapa saat sahaja,” jelas Mazlan.

“Peluang yang ada perlu digunakan sebaik mungkin. Apatah lagi Bernama sudah amanahkan tugasan itu, saya terus memanggil Presiden Obama sebanyak tiga kali untuk mendapatkan sudut terbaik ketika bersalam dengan Datuk Seri Najib. Saat itu saya rakam ketika mereka menoleh ke arah saya.

“Tanpa membuang masa dengan satu klik, satu kepuasan yang tak dapat diungkapkan dapat dirakam,” jelas beliau dengan nada puas lalu menambah bahawa foto-foto itu disiarkan di muka depan kebanyakan akhbar utama di Malaysia.

Bertugas di Bernama sejak 13 tahun lepas, Mazlan menegaskan bahawa amat penting untuk membuat persediaan dengan menyelidik sedikit sebanyak mengenai tugasan yang bakal dilaksanakan apatah lagi sebelum berangkat membuat liputan di luar negara.

Turut aktif berpersatuan, beliau adalah Exco Kebajikan di Persatuan Jurufoto Akhbar Malaysia (MPPA), persatuan yang bertanggungjawab mengangkat martabat dan kebajikan jurufoto akhbar di Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Antara pencapaian Mazlan termasuk Anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-PETRONAS 2013, Kewartawanan Esei Foto Cemerlang, Jurugambar Sukan Terbaik menerusi Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia(SAM)-KBS 2010 dan banyak lagi.

Beliau tidak menyimpan ilmu seni fotografi untuk kegunaan sendiri, sebaliknya tidak kedekut untuk berkongsi segala teknik-teknik fotografi kepada pelajar jurusan kewartawanan di Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Selangor ketika menjadi tenaga pengajar sambilan di institusi-institusi berkenaan.

“Ilmu yang ditimba tidak akan habis, tetapi apabila dikongsikan, kebaikan dan pahala akan berpanjangan sehingga ke liang lahad,” kata Mazlan. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline