Sunday April 16, 2017
7:20 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Jazlan berkata mungkin Nanyang Siang Pau perlu mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat seperti pelukis kartun dan lain-lain. — Foto oleh Yusof Mat Isa Jazlan berkata mungkin Nanyang Siang Pau perlu mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat seperti pelukis kartun dan lain-lain. — Foto oleh Yusof Mat Isa JOHOR BARU, 16 April — Kementerian Dalam Negeri akan bertindak tegas terhadap media cetak yang berdaftar dengan mereka andai menyiarkan perkara yang boleh mengancam ketenteraman negara, menyakitkan hati orang dan penganut agama lain.  

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya telah memberi amaran kepada media untuk tidak berbuat demikian memandangkan ia merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Jangan ambil sikap cakap dahulu perkara-perkara yang boleh mengancam ketenteraman negara, sakitkan hati orang dan sakitkan hati penganut agama lain dan lepas itu minta maaf.

“Media sepatutnya mempunyai etika yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ekspresi Negaraku Sejahtera Tanpa Dadah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penyiaran karikatur yang didapati menghina Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Anggota Parlimen Marang merangkap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang oleh akhbar Nanyang Siang Pau, baru-baru ini.

​​​​​​Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai berkata KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap Nanyang Siang Pau sebaliknya menyerahkan kepada syarikat itu untuk melakukan tindakan dalaman.

Beliau berkata keputusan itu dibuat memandangkan Nanyang Siang Pau sudah lama beroperasi, sekali gus memiliki pelbagai tanggungan termasuk staf.

“Kerajaan juga berhati perut, kita jaga kepentingan mereka (Nanyang Siang Pau), cuma satu...jangan buat lagi. Ini juga amaran kepada mana-mana akhbar yang mendapatkan lesen daripada KDN untuk beroperasi.

“Mungkin Nanyang Siang Pau perlu mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat dalam hal ini seperti pelukis kartun dan lain-lain. Ambil tindakan dalaman dan perlu bertindak secara serius,” katanya.

Pada 8 April lepas, akhbar itu menyiarkan karikatur di portal mereka yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai speaker manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label Hadi Awang.

Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’.

Nanyang Siang Pau dalam satu kenyataan sudah memohon maaf kepada Pandikar Amin dan Abdul Hadi berhubung penyiaran karikatur tersebut dan mengakui penyiarannya adalah tidak wajar untuk tatapan umum.

Selain itu, Nanyang Siang Pau turut menarik balik karikatur sama yang disiarkan di laman berita Nanyang Siang Pau, iaitu eNanyang.my.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berkata satu sesi percambahan minda akan diadakan pada 20 dan 21 April bagi menetapkan hala tuju baru dalam membanteras gejala dadah di negara ini.

Beliau berkata sesi dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan, turut menjemput pertubuhan bukan kerajaan, golongan profesional dan ahli akademik untuk bersama membincangkan hala tuju tersebut.

Katanya hasil rumusan daripada sesi itu akan dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Pemadam kelak.

Buat masa ini, Pemadam mempunyai 500,000 anggota di seluruh negara. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline