Tuesday July 18, 2017
10:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Pemilik suara Upin Ipin, Asyiela Putri Azhar, 17, disamping watak-watak siri animasi terbitan Les’Copaque. Industri itu dijangka berkembang dengan PNK RM3.04 bilion menjelang 2020.—Foto oleh Saw Siow FengPemilik suara Upin Ipin, Asyiela Putri Azhar, 17, disamping watak-watak siri animasi terbitan Les’Copaque. Industri itu dijangka berkembang dengan PNK RM3.04 bilion menjelang 2020.—Foto oleh Saw Siow Feng

KUALA LUMPUR, 18 Julai—Industri animasi dan kesan visual di negara ini diunjur menyumbang kira-kira RM3.04 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar serta menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood berkata industri kreatif itu dijangka terus berkembang kukuh sekaligus melahirkan lebih ramai pakar tempatan dalam bidang terbabit dengan penghasilan lebih banyak karya animasi bermutu.

Beliau berkata perkembangan positif itu juga dilihat selari dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara hub teknologi dan kandungan kreatif di rantau ini.

“Industri animasi kreatif sudah terbukti berjaya menaikkan nama Malaysia di mata dunia dengan contoh terbaik ialah kejayaan diraih filem animasi Upin Ipin serta ‘Didi & Friends’ yang gah ditayangkan di pentas antarabangsa.

“Justeru itu kita mahu melihat lebih ramai anak tempatan yang berupaya menghasilkan karya hebat seperti itu sekaligus menaikkan industri animasi, kreatif dan kesan visual di negara ini pada tahap tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persetujuan melibatkan kerjasama strategik antara syarikat animasi tempatan, Animamundi Studio Sdn Bhd (Animamundi) bersama China Film Animation Industry Co Ltd di sini semalam.

Yasmin berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja mampu membuka laluan kepada pemain industri tempatan untuk meneroka pasaran negara China malah bakal memberi manfaat dari aspek perkongsian ilmu, kepakaran serta teknologi dalam bidang berkaitan.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Animamundi Leong Chun Chong mengajak pemain industri animasi dan kesan visual tempatan bekerjasama dengan syarikatnya dalam meneroka pasaran China.

“Kami mahu kita semua bersama-sama meningkatkan kepakaran teknikal pekerja dalam sektor ini ke satu tahap terbaik,” katanya. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline