Friday June 9, 2017
8:07 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Bersempena Ramadan, JBPM memberi tumpuan melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi atau tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah. — Foto Malay MailBersempena Ramadan, JBPM memberi tumpuan melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi atau tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah. — Foto Malay MailPUTRAJAYA, 9 Jun — Hanya 20 peratus daripada 13,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diberikan kelulusan bercuti bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

“Ini bermakna hanya kira-kira 2,600 anggota bomba dibenarkan bercuti manakala yang lain diarahkan bertugas seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata permohonan bercuti hanya dibenarkan diambil bermula 18 Jun dengan tempoh atau jangka masa cuti bergantung kepada kelulusan ketua masing-masing.

Bercakap kepada pemberita pada majlis Jalinan Ramadan di ibu pejabat JBPM di sini semalam, Noh berkata kebenaran tersebut diberikan dengan mengambil kira penugasan yang perlu dilakukan sepanjang musim perayaan, khususnya pada minggu akhir puasa dan awal Syawal.

Dalam pada itu, beliau berkata bersempena Ramadan, JBPM memberi tumpuan melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi atau tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah.

Noh berkata pemeriksaan yang dilakukan bermula awal Ramadan itu mencakupi aspek keselamatan lif, eskalator, laluan kecemasan jika berlaku bencana serta tahap penyediaan peralatan keselamatan oleh pihak pengurusan bagi mengelak kejadian tidak diingini, terutamanya kebakaran.

Beliau berkata langkah turun padang itu dibuat bagi memastikan semua pengusaha mengambil tindakan sepatutnya sekaligus memberikan keselesaan kepada orang ramai ketika berurusan.

“Sejak awal Ramadan, lebih kurang 2,000 lokasi tumpuan telah diperiksa dan langkah turun padang akan menjadi lebih kerap menjelang hari raya,” katanya.

Terdahulu, Noh meraikan dan menyerahkan sumbangan raya kepada 30 orang anak yatim daripada pusat jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Kota Warisan dekat sini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. — Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline