Tuesday March 21, 2017
8:06 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal mengumumkan 'hadiah istimewa' berbentuk skim perumahan mampu milik kepada rakyat Johor. — Foto BernamaSultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal mengumumkan 'hadiah istimewa' berbentuk skim perumahan mampu milik kepada rakyat Johor. — Foto BernamaJOHOR BARU, 21 Mac — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bakal mengumumkan “hadiah istimewa” berbentuk skim perumahan mampu milik kepada rakyat di negeri ini sempena Hari Keputeraan baginda yang disambut Khamis ini.

Baginda bertitah skim itu yang berstatuskan hak milik bebas adalah yang pertama seumpamanya dan bakal dibangunkan di Bandar Dato Onn di sini di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Bank Rakyat dan menawar konsep hartanah kediaman yang berlainan, rumah kedai dan lain-lain unit komersil.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai projek itu tidak didedahkan kerana baginda meminta rakyat hadir sendiri ke Galleria Kota Raya di sini Rabu ini bagi menyaksikan pelancaran projek.

“Ia dibuka kepada semua bangsa Johor yang layak. Akan tetapi, proses pemilihan adalah amat ketat dan teliti.

“Pemohon yang berjaya hanya perlu membayar RM1 sebagai deposit dan mereka akan ditawarkan pinjaman penuh dengan skim pembayaran semula yang mudah,” titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Media Diraja Johor di sini, Selasa.

Titah baginda lagi, adalah menjadi hasrat baginda untuk melihat Bangsa Johor menjadi sebuah komuniti yang memiliki rumah dengan memastikan skim ini benar-benar mampu dimiliki, murah dan berkualiti tinggi.

Baginda juga sempat membayangkan bagaimana rakyat boleh memiliki sebuah banglo tiga bilik atau rumah berkembar dengan harga bawah RM100,000 seunit.

Dalam pada itu, baginda menjangkakan projek itu mampu membuat “kejutan” dalam industri perumahan tempatan, sekali gus memaksa pemaju swasta menurunkan harga rumah.

“Kita mesti memastikan rumah mampu dimiliki oleh semua. Harga sekarang adalah di luar jangkauan mereka yang berpendapatan sederhana,” titah baginda. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline