Wednesday January 11, 2017
6:35 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Mohd Faiz Subri ketika berucap di pentas Anugerah Puskas Fifa 2016 di Zurich, 10 Januari 2017. — Foto Reuters Mohd Faiz Subri ketika berucap di pentas Anugerah Puskas Fifa 2016 di Zurich, 10 Januari 2017. — Foto Reuters GEORGE TOWN, 11 Jan — Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berharap kejayaan merangkul Anugerah Puskas Fifa 2016 awal pagi semalam tidak akan mengubah Mohd Faiz Subri, sebaliknya kekal fokus sebagai pemain profesional. 

Pengurus skuad Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata FAP sememangnya bangga dengan kejayaan Mohd Faiz merangkul anugerah itu, namun keutamaan dan fokus pasukan bukan pada anugerah tersebut tetapi persiapan menghadapi Liga-M. 

"Walaupun ini adalah satu kejayaan besar dan kami semua bangga, fokus sebagai seorang pemain profesional adalah pada perlawanan. 

"Seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, mereka pun bukan hari-hari joli selepas menang anugerah. Mereka akan fokus semula pada latihan dan perlawanan.

"Sebagai seorang profesional, Mohd Faiz pun faham benda ini. Pada hari dia berangkat ke Zurich, dia ada juga berlatih," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya turut akan cuba mengehadkan sambutan daripada pelbagai pihak yang mahu meraikan kejayaan dan kepulangan Mohd Faiz ke tanah air supaya tidak mengganggu fokus penyerang berusia 30 tahun itu pada latihan.

Zairil berkata kejayaan Mohd Faiz itu mengangkat bola sepak negara di persada dunia terutamanya Pulau Pinang dan kejayaan tersebut harus menjadi contoh kepada generasi muda khususnya pemain muda.

Ditanya kedudukan Mohd Faiz dalam kesebelasan utama Pulau Pinang, beliau berkata setiap pemain dalam pasukan itu perlu bersaing mendapat tempat dalam pasukan.

"Terpulang pada strategi, tak ada pemain yang ada tempat secara tetap dalam kesebelasan utama. Semua kena bersaing untuk tempat mereka," katanya.

Beliau berkata Mohd Faiz akan terus kekal bersama Pulau Pinang kerana kontraknya ada sehingga hujung tahun ini.

Mohd Faiz menerima pengiktirafan itu pada majlis Anugerah Bola Sepak Fifa 2016 di Zurich, Switzerland, awal pagi semalam.

Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus, sekali gus mengalahkan dua lagi calon - Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01 peratus. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline