Last updated Sunday, October 02, 2016 12:42 am GMT+8

Friday September 23, 2016
10:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Datuk Kamil Othman berkata penerbit perlu membuat kerja prapenerbitan masing-masing terlebih dahulu. ― Foto oleh Choo Choy May Datuk Kamil Othman berkata penerbit perlu membuat kerja prapenerbitan masing-masing terlebih dahulu. ― Foto oleh Choo Choy May KUALA LUMPUR, 23 Sept ― Penerbit filem Malaysia perlu mengubah set minda dan cara menghasilkan filem, siri televisyen atau dokumentari bagi memastikan karya mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pengedar dan penyiar.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman berkata penerbit perlu membuat kerja prapenerbitan masing-masing terlebih dahulu dengan mendapatkan pengedar dan penyiar yang tepat, sebelum memulakan kerja penerbitan dan bukan menangguhkannya sebagai kerja pascapenerbitan.   

“Lazimnya, kami (Finas) membiayai projek (filem), yang sesetengahnya tidak menyatakan siapakah pengedar mereka atau di mana ia akan ditayangkan. Mereka perlu faham bahawa semua pelaburan ini bertujuan menjadikan hasilnya diterima di pasaran.              

“Saya secara peribadi berpendapat dokumentari Borneo menggunakan model yang betul kerana penerbit bertemu terlebih dahulu. Selepas itu, mereka membawa masuk penyiar.               

“Saya rasa, kami akan mengamalkan model ini untuk filem, siri televisyen atau dokumentari pada masa akan datang,” katanya pada sidang berita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penerbitan bersama faktual terbesar Singapura dan Malaysia di sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani di antara penerbit terkemuka Malaysia, Kyanite TV, dan syarikat penerbitan Singapura yang memenangi pelbagai anugerah, Beach House Pictures (BHP), pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Kandungan Asia (ACBS) Kelima bagi menerbitkan 10 episod dokumentari setengah jam bertajuk Borneo.             

Sidang kemuncak dua hari itu, yang dihoskan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Finas, diadakan buat julung kalinya di Malaysia dan sebahagian daripada KL Converge! 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).                

Kamil berkata persiapan yang dilakukan itu boleh mewujudkan keadaan di mana proses penerbitan sesebuah filem bebas daripada kebimbangan sama ada ia akan berjaya atau diterima, dan langkah itu penting untuk memulakan proses penerbitan.       

“Apabila perkara itu sudah dilakukan, pasukan berkenaan boleh memberi fokus kepada aspek kreatif sesebah filem, penulis pula boleh memberi tumpuan untuk menulis skrip dan plot terbaik kerana mengetahui bahawa sudah ada pengedar yang menunggu untuk mengedar karya yang akan dihasilkan dan penyiar pula akan menyiarkannya,” katanya.               

Mengenai pembangunan kandungan, beliau berkata pasukan penerbitan kini perlu memiliki ciri kepelbagaian untuk menarik pelbagai pelabur menyertai projek mereka.

Dengan Finas kini memberi fokus terhadap penerbit, beliau menegaskan mereka perlu diberi pendedahan dan kesedaran bahawa wang untuk membiayai projek mereka tidak datang sepenuhnya daripada kerajaan.     

“Ada orang lain yang boleh turut melabur dan dalam proses ini, mereka sama-sama menghasilkan filem berkenaan kerana begitulah amalan dunia hari ini.

“Seluruh dunia berpotensi menjadi pasaran anda, bukan hanya di peringkat domestik atau serantau,” katanya. ― Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline