Last updated Sunday, September 25, 2016 12:16 am GMT+8

Friday September 23, 2016
8:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Para atlet Paralimpik disambut oleh rakyat Malaysia selepas meraih pingat di Rio 2016. ― Foto oleh Saw Siow FengPara atlet Paralimpik disambut oleh rakyat Malaysia selepas meraih pingat di Rio 2016. ― Foto oleh Saw Siow FengKUALA LUMPUR, 23 Sept ― Wira dan wirawati Paralimpik negara merasa amat dihargai apabila diberi sambutan di luar jangkaan setibanya mereka ke tanah air hari ini.

“Saya sangat terkejut dengan sambutan oleh rakyat Malaysia. Saya  tidak menjangkakan akan disambut semeriah ini,” kata Muhammad Ziyad Zolkefli ketika ditemui Bernama pada majlis kesyukuran di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan di sini, malam tadi.         

Menurut pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) itu berkata sambutan  yang diperolehi hari ini sangat berbeza dengan sambutan yang  diterimanya empat tahun lalu.  

Katanya, selepas memenangi pingat gangsa di London pada 2012,  sambutan tidaklah semeriah yang diadakan hari ini.  

“Saya ingin berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang  berkumpul meraikan kami. Sokongan mereka sangatlah saya hargai,” kata atlet berusia 26 tahun dari Gombak, Selangor itu.

Kesemua empat pemenang pingat Sukan Paralimpik ke-15 di Rio de Janeiro serta 17 atlet Paralimpik yang lain telah diarak dengan  menggunakan bas persiaran dua tingkat 'Hop On Hop Off' melalui beberapa jalan utama ibu negara.     

Konvoi yang membawa mereka membuat persinggahan di Menara Berkembar Petronas dan pusat membeli-belah Pavilion di Bukit Bintang sebelum menamatkan perarakan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik.  

Sepanjang perjalanan yang bermula dari Jalan Tun Razak hingga ke Kampung Pandan itu, atlet-atlet yang berada di bahagian terbuka bas  berkenaan dan mengibarkan Jalur Gemilang itu diberikan tepukan gemuruh oleh orang ramai.    

Sementara bagi atlet lompat jauh T20 Abdul Latif Romly pula, yang pertama kali beraksi di Sukan Paralimpik, berkata beliau terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

“Susah bagi saya untuk gambarkan. Saya sangat terharu dengan  sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia. Sokongan mereka terhadap kami atlet Paralimpik sangat kami hargai,” katanya. ― Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline