Saturday August 19, 2017
9:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Bukit Broga di Semenyih yang dahulunya hijau kini ditarah untuk aktiviti tanaman getah. ― Foto-foto oleh Yusof Mat IsaBukit Broga di Semenyih yang dahulunya hijau kini ditarah untuk aktiviti tanaman getah. ― Foto-foto oleh Yusof Mat IsaSEMENYIH, 19 Ogos ― Penduduk Orang Asli Bukit Broga di sini mempertahankan tindakan mereka menarah bukit bagi aktiviti pertanian getah.

Timbalan Batin Kampung Orang Asli Broga berkata sebahagian kawasan bukit seluas 137 ekar diteroka untuk tanaman anak pokok getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang mengambil masa lima tahun sehingga tempoh matang.

“Kami ada hak untuk menjalankan aktiviti pertanian kerana ia peruntukan tanah rizab milik kami mengikut Akta 134 (Akta Orang Asli 1954),” kata Ombak anak Samah ketika ditemui Malay Mail Online baru-baru ini.

Ombak, 53, menafikan laporan yang mendakwa kawasan itu diceroboh dan diteroka secara haram, sehingga menimbulkan kemarahan pelancong dan pendaki Broga.

Berketinggian 400 meter, tinjauan mendapati Broga, salah satu produk pelancongan terkenal Selangor untuk aktiviti rekreasi berubah wajah.

Sebelum ini, ia menjadi tumpuan orang ramai yang mahu menikmati kehijauan alam semula jadi tetapi kini daya tarikannya sudah hilang apabila muka buminya semakin gondol akibat tarahan dan laluan jentera berat.

Bukit Broga kini ditutup selama tiga bulan bagi kerja-kerja pemulihan tanah. Bukit Broga kini ditutup selama tiga bulan bagi kerja-kerja pemulihan tanah. Kerajaan negeri sebelum ini mendakwa Risda dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) meneroka tanah kerajaan itu tanpa kebenaran.

Sehubungan itu amaran diberikan agar kerja-kerja pertanian dihentikan buat sementara sehingga kertas siasatan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat lengkap.

Situasi ini menimbulkan konflik antara kepentingan Broga sebagai pusat tumpuan pelancong atau sumber ekonomi bagi penduduk Orang Asli kawasan itu.

Pendaki Kamaruzzain Mohd Shariff, 56, bimbang kerja-kerja pertanian sekitar bukit mendatangkan risiko keselamatan orang awam yang melalui sepanjang trek hingga ke puncak.

“Sepatutnya bukit ini perlu dipelihara dan dipertahankan daripada sebarang aktiviti pembangunan.

“Saya bimbang keadaan struktur tanah yang ditarah, jika hujan menyebabkan trek menjadi licin dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pendaki yang lain,” katanya.

Ombak bagaimanapun berkata kawasan tanaman itu tidak mengganggu trek atau laluan asal pendakian bukit itu.

“Kami tidak usik laluan pelancong. Malah kami tidak pernah mengenakan caj sesen pun dari pelancong yang selama ini masuk ke kawasan tanah kami,” katanya yang mendakwa caj RM1 yang dikenakan sebelum ini adalah daripada pemilik tanah persendirian.

Timbalan Batin Kampung Orang Asli Broga, Ombak Anak Samah ketika ditemui Malay Mail Online. Timbalan Batin Kampung Orang Asli Broga, Ombak Anak Samah ketika ditemui Malay Mail Online. Selain Broga, tinjauan juga mendapati aktiviti pembangunan di kawasan sekitar berjalan rancak termasuk projek bandar baru EcoWorld.

Dalam perkembangan terkini, kerajaan negeri semalam mengumumkan penutupan sementara Broga bagi aktiviti rekreasi dan pelancongan selama tiga bulan bagi kerja-kerja pemulihan tanah.

Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) juga memutuskan supaya bukit Broga diwartakan sebagai kawasan rekreasi di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan diselenggara oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline