Last updated Saturday, December 10, 2016 4:42 pm GMT+8

Friday December 2, 2016
12:56 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Vokalis Dewa 19 dan calon pegawai daerah Bekasi, Ahmad Dhani ditahan ketika sedang bersiap menyertai himpunan 'Aksi Damai 2 Dis' hari ini. — Foto ihsan Instagram/ahmadhaniprastVokalis Dewa 19 dan calon pegawai daerah Bekasi, Ahmad Dhani ditahan ketika sedang bersiap menyertai himpunan 'Aksi Damai 2 Dis' hari ini. — Foto ihsan Instagram/ahmadhaniprastJAKARTA, 2 Dis — Polis menahan beberapa individu termasuk Rachmawati Soekarnoputri, adik bekas presiden Megawati Soekarnoputri, dan artis popular Ahmad Dhani, atas tuduhan cuba menimbulkan kekacauan politik bersempena perhimpunan “Aksi Damai 2 Dis” hari ini.

Peguam Rachmawati, Aldwin Rahardian dipetik oleh media dalam talian sebagai berkata anak presiden pertama Indonesia, Soekarno, itu ditahan di kediamannya di sini pada pagi tadi.

Ahmad Dhani, yang juga calon Pilkada bagi jawatan Pegawai Daerah (Bupati) Bekasi, pula ditahan ketika sedang bersiap untuk menyertai perhimpunan itu.

Selain mereka, beberapa aktivis masyarakat termasuk Ratna Sarumpaet dan Kivlan Zen turut ditahan di Markas Polis Pasukan Khas Bergerak (Brigade Brimbom) bagi membantu siasatan mengenai cubaan menimbulkan kekacauan politik.

Setakat ini polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penangkapan berkenaan.

Lebih 300,000 umat Islam hari ini membanjiri sekitar ibukota di sini bagi menyertai perhimpunan yang dikenali sebagai "Aksi Damai 2 Dis" bertujuan menggesa pihak berkuasa menahan penyandang Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama yang sedang menghadapi tuduhan menista agama.

Orang ramai termasuk kaum wanita dan golongan remaja mula berkumpul seawal pukul 5 pagi selepas solat subuh di Masjid Istiqlal di sini dan mereka bergerak menuju ke perkarangan Monumen Nasional (Monas) bagi mendengar ceramah, berzikir dan berdoa sebelum menunaikan solat Jumaat di perkarangan tugu negara itu.

Perhimpunan itu susulan demonstrasi 4 Nov lepas bagi mendesak pihak berkuasa menahan gabenor Jakarta atau lebih dikenali sebagai Ahok ekoran ucapannya di Kepulauan Seribu dua bulan lepas.

Dalam ucapan bertemu pengundi itu, Ahok dipetik sebagai meminta umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pihak menggunakan surah Al Maidah yang meminta umat Islam tidak memilih golongan bukan Islam untuk menjadi pemimpin mereka.

Ahok adalah satu-satunya calon bukan beragama Islam, dicabar dua calon lain iaitu Anies Baswedan dan Agus Harimurti Yudhoyono bagi merebut jawatan Gabenor Jakarta pada Pilihan raya Ketua Daerah (Pilkada) Februari tahun depan.

Kenyataan Ahok itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh Indonesia dan polis akan mendakwa Ahok di mahkamah atas kesalahan mengikut undang-undang penistaan agama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari enam tahun.

Pada perhimpunan kali ini, pasukan keselamatan yang mengawal keadaan turut menyertai perhimpunan itu dengan berzikir.

Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian turut berucap dan menggesa agar umat Islam bersabar kerana polis sudah melengkapkan siasatan dan akan membawa Ahok ke mahkamah untuk dibicarakan. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline