Wednesday October 18, 2017
3:42 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Penganut Hindu mengharapkan keberkatan di hari Deepavali di sebuah kuil di Puchong, Selangor, 18 Oktober  2017. — Foto oleh Miera ZulyanaPenganut Hindu mengharapkan keberkatan di hari Deepavali di sebuah kuil di Puchong, Selangor, 18 Oktober 2017. — Foto oleh Miera ZulyanaKUALA LUMPUR, 18 Okt — Penganut beragama Hindu hari ini menyambut perayaan Deepavali dalam suasana harmoni dan penuh warna-warni di seluruh negara.

Lebih manis apabila kegembiraan pesta cahaya tidak hanya dirasai oleh masyarakat India tetapi juga rakyat pelbagai kaum yang mengambil kesempatan mengunjungi sahabat handai, selain merakamkan ucapan Deepavali di laman sosial Twitter, Facebook dan WhatsApp seiring semangat muhibah di negara ini.

Seperti kelaziman, perayaan itu dimeriahkan dengan tradisi rumah terbuka di kediaman masing-masing serta majlis anjuran parti politik dengan pelbagai juadah tradisional disajikan.

Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyertai ribuan rakyat pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan kompleks kuil Batu Caves, Selangor yang juga merupakan acara kemuncak sambutan perayaan itu.

Alunan muzik, paluan gendang, tiupan seruling, tarian tradisional turut memeriahkan majlis yang juga dihadiri presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan pemimpin-pemimpin parti itu.

Perdana menteri kemudian menyertai sambutan rumah terbuka anjuran MyPPP di Little India, Brickfields di sini sebelum berkunjung ke rumah terbuka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Jalan Sentul.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan ratusan tetamu memeriahkan majlis rumah terbuka anjuran pengerusi MIC negeri Datuk MS Mahadevan, yang juga exco hal ehwal syarikat, sumber manusia dan NGO di kediamannya di Taman Paya Rumput Indah Batu 9, Paya Rumput.

Orang ramai serta pelancong asing turut mengambil peluang sempena cuti Deepavali untuk mengunjungi kawasan tumpuan pelancong terutama di Bandar Hilir dan Ayer Keroh serta Little India Melaka di Jalan Bendahara yang meriah dengan hiasan berwarna-warni.

Di JOHOR BAHRU, ketua Pemuda MIC negeri S Balakrishnan mengadakan rumah terbuka Deepavali selain sambutan ulang tahun kesembilan perkahwinan beliau dan isteri di kediamannya di Jalan Berangan, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.

Seperti di Melaka, beberapa lokasi pelancongan juga menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah seperti Taman Tema Legoland Malaysia, Taman Tema tertutup Thomas Town Puteri Harbour dan Sanrio Hello Kitty Town, Zoo Johor serta Austin Heights Water & Adventure Park.

Di PERAK, walaupun tiada sambutan rasmi rumah terbuka, suasana kemeriahan tetap terasa dengan penganut Hindu memenuhi beberapa kuil antaranya Kallumalai Sri Subramaniam di Gunung Cheroh, berhampiran Medan Istana, Ipoh bagi upacara keagamaan.

Di PERLIS, tiga kuil utama di Kangar, Arau dan Padang Besar menjadi tumpuan penganut agama Hindu untuk bersembahyang sebelum kembali ke rumah masing-masing bagi menunggu kedatangan tetamu.

Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim meluangkan masa berkunjung ke rumah terbuka pengerusi MIC negeri S Vengadasamy di Pauh dekat Arau.

Di KEDAH, lebih 30,000 keluarga masyarakat India menyambut pesta cahaya dengan sebahagian besar daripadanya berkumpul di Kuil Sri Subramaniya Swamy Devasthanam, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani sejak 8 pagi tadi untuk menjalankan upacara keagamaan.

"Sama seperti semua perayaan lain di negara ini, rakyat pelbagai kaum akan menziarahi rumah rakan-rakan berbangsa India untuk menikmati makanan tradisional seperti tosai, muruku, appam dan lain-lain," kata pengerusi badan perhubungan MIC Kedah, Senator Datuk Jaspal Singh kepada Bernama.

Di PULAU PINANG, kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga antara yang menjadi tumpuan penganut Hindu, di samping Taman Botani dan Taman Belia yang turut dikunjungi orang ramai bagi aktiviti riadah.

Di KELANTAN, kira-kira 6,000 penganut Hindu meraikan Deepavali secara sederhana namun masih meriah dengan aktiviti berkunjung ke kuil untuk beribadat pada sebelah pagi.

Ketua Pemuda MIC Kelantan P Ganthiraja berkata masyarakat India gembira kerana meskipun mereka adalah kaum minoriti di Kelantan tetapi perayaan turut diraikan oleh semua lapisan masyarakat di negeri itu.

Di TERENGGANU, kebanyakan penganut agama Hindu hanya menyambut perayaan di rumah masing-masing selepas pulang dari upacara sembahyang di kuil, selain beberapa kawasan menjadi tumpuan pelancong seperti Pasar Payang, Masjid Kristal dan Muzium Losong berikutan cuti sekolah yang masih berbaki tiga hari lagi.

Di PAHANG, penganut Hindu mula memenuhi Kuil Sri Mariamman di Kuantan seawal 7 pagi sementara di SELANGOR, Kuil Sri Maha Mariamman Seksyen 7 Shah Alam dan Kuil Sri Nagara Thandayuthapati di Jalan Bukit Jawa Klang menjadi tumpuan untuk melakukan aktiviti keagamaan sempena Deepavali.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin serta pemimpin parti komponen BN negeri menyertai lebih 500 hadirin di rumah terbuka Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk VS Mogan di Rantau.

Di SARAWAK, perayaan Deepavali bukan cuti umum di negeri itu, namun beberapa kuil di bandar raya Kuching menjadi tumpuan penganut Hindu termasuk Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman, Jalan Ban Hock dan Kuil Sri Maha Mariamman, Batu Lintang.

Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hadir bersama masyarakat berbilang kaum dan agama bagi memeriahkan rumah terbuka Deepavali MIC Sabah di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu. — Bernama  

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline