Sunday July 16, 2017
8:34 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Pemimpin Pakatan Harapan mengangkat poster logo baru gabungan itu di Petaling Jaya, 13 Julai 2017. — Foto oleh Kamles KumarPemimpin Pakatan Harapan mengangkat poster logo baru gabungan itu di Petaling Jaya, 13 Julai 2017. — Foto oleh Kamles KumarKEMAMAN, 16 Julai — Usah terpedaya permainan politik Pakatan Harapan dengan barisan kepimpinan baharu mereka, kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Beliau selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berkata walaupun kepimpinan pakatan tersebut diketuai oleh orang Melayu, tetapi Parti Demokratik Rakyat (DAP) tetap menjadi kuasa utama kerana mempunyai 36 kerusi berbanding PKR 28 kerusi, Parti Amanah Negara enam kerusi dan satu kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Dalam negara yang mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen, mana-mana parti paling banyak memenangi (kerusi) Parlimen maka parti tersebutlah yang boleh menubuh kerajaan.

“Sekarang ini kita boleh lihat parti mana paling banyak menguasai parlimen...hanya satu parti sahaja.

“Jadi agak pelik jika kita lihat parti yang menguasai pakatan pembangkang ini tiada dalam mana-mana kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

“Jadi kita boleh lihat ia sebenarnya hanya untuk mengaburi mata orang di luar sana memperlihatkan orang Melayu yang mengetuai kepimpinan...DAP yang duduk di belakang.

“Tetapi sebenarnya DAP yang banyak memainkan peranan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Dewan Undangan Negeri  Air Putih di sini, hari ini.

“Saya minta orang Melayu terutama Bumiputera, orang yang berfikiran sama dengan kita yang mahukan keadilan dan kesaksamaan...ingat jangan layan sangat Pakatan Harapan.

“Bayangkan seorang itu yang berusia 92 tahun merupakan orang yang dituduh oleh pembangkang selama ini sebagai merosakkan Malaysia.

“Tapi sekarang dia pula yang menjadi ketua. Inilah pemimpin Pakatan Harapan. Jadi rakyat Malaysia boleh menilai sendiri,” katanya lagi

Pakatan Harapan yang menggabungkan empat parti pembangkang mengumumkan struktur kepimpinan baharunya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula sebagai pengerusi.

Manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dilantik sebagai timbalan presiden pada  mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, 14 Julai lepas. — Bernama

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline