Thursday June 15, 2017
7:47 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Grab Malaysia membuat permohonan maaf atas kejadian membabitkan pemandunya yang ditahan polis atas tuduhan merogol penumpang. — Foto file TODAYGrab Malaysia membuat permohonan maaf atas kejadian membabitkan pemandunya yang ditahan polis atas tuduhan merogol penumpang. — Foto file TODAYKUALA LUMPUR, 15 Jun — Grab Malaysia digesa menguatkuasakan butang panik pada aplikasi perkhidmatannya untuk keselamatan penumpang selewat-lewatnya 31 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat khas bersama Grab Malaysia semalam.

“Dalam mesyuarat berkenaan turut membincangkan kaedah yang diguna pakai untuk melantik pemandu GrabCar serta langkah pencegahan insiden buruk kepada penumpang.

“Mereka menyatakan komitmen dan kesediaan untuk melaksanakan butang panik tersebut dengan segera untuk memastikan keselamatan pengguna,” katanya kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC)  di sini.

Nancy berkata butang panik pada aplikasi itu mempunyai Sistem Kedudukan Global (GPS) yang akan dihubungkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau keselamatan pengguna.

Jelasnya, pengusaha GrabCar juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPAD bagi menangani sebarang kejadian yang tidak diingini atau masalah kepada penumpang pada masa akan datang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah, kakitangan SPAD serta pengamal media.

Sebanyak 30 anak yatim, fakir miskin dan asnaf dari Rumah Kebajikan Bakti Al-Kausar, Bandar Baru Bangi turut diraikan dalam majlis itu. — Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline