Wednesday February 7, 2018
9:53 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Alum Langone Avalos bersama ibunya, Elizabeth Avalos dalam satu gambar diberikan Kedutaan Argentina di Malaysia. Alum Langone Avalos bersama ibunya, Elizabeth Avalos dalam satu gambar diberikan Kedutaan Argentina di Malaysia. KUALA LUMPUR, 7 Feb ― Alum Langone Avalos, kanak-kanak perempuan warga Argentina yang sebelum ini dilaporkan hilang, telah dijumpai dan dipertemukan semula dengan ibunya,  kata Kedutaan Argentina di Malaysia.

Kedutaan itu dalam kenyataan hari ini berkata kanak-kanak berusia tujuh tahun itu yang dilaporkan hilang sejak Jun tahun lepas dan dilihat di beberapa lokasi di Malaysia, dikesan berada di Indonesia dan Kedutaan Argentina di Jakarta mengesahkan penahanan penculiknya semalam (6 Februari).

“Media yang memberi liputan besar-besaran kepada berita ini membantu mewujudkan kesedaran bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara Asia Tenggara yang lain.

“Rakyat Malaysia yang baik hati dan suka menolong turut menghulurkan bantuan dalam pelbagai cara, dan paling penting, melaporkan lokasi Alum serta penculiknya yang membawa kepada kejayaan menemuinya di Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu menegaskan ibu Alum, Elizabeth Avalos, kini berada di Indonesia untuk dipertemukan semula dengan anak perempuannya itu, dan sebagai persediaan untuk menghantar mereka pulang ke Buenos Aires, Argentina, kedutaan di  Kuala Lumpur dan Jakarta bekerjasama rapat untuk memastikan Elizabeth dapat membawa pulang Alum ke pangkuan keluarga serta sahabat handai secepat mungkin.

Dalam kenyataannya, Duta Argentina di Malaysia Manuel Balaguer Salas mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia, media dan orang ramai atas bantuan serta kerjasama yang dihulur bagi menyelesaikan kes itu.

“Pertemuan semula antara Alum dan ibunya tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan berterusan daripada semua pihak,” katanya. ― Bernama

Iklan

Iklan

MMO Instagram