Friday September 8, 2017
8:42 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Watie disaman pada 2015 selepas gagal menyelesaikan pinjaman bank menggunakan nama Hana bagi membeli Toyota Wish. — Foto ihsan Instagram/tie_joeyWatie disaman pada 2015 selepas gagal menyelesaikan pinjaman bank menggunakan nama Hana bagi membeli Toyota Wish. — Foto ihsan Instagram/tie_joeyKUALA LUMPUR, 8 Sept — Bekas anggota kumpulan Elite, Hana sekali lagi menyaman rakan kumpulannya, Watie atas kegagalannya membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Selayang terhadap peragawati sambilan itu, dua tahun lepas.

Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan, 39, yang menang kes samannya pada 10 Mac 2015 terhadap Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 41, memfailkan saman penghutang penghakiman itu, pada 18 Mei lepas apabila rakannya itu gagal menjelaskan wang berkenaan sehingga kini.

Dalam permohonan itu, Norhanasafiza, turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap sekiranya Norwati gagal hadir ke mahkamah bagi memberi penjelasan berhubung kegagalannya membayar ganti rugi tersebut.

Sementara itu, Norwati ditemani suaminya, pelakon dan juga pelawak, Zulkifli Daud atau lebih dikenali sebagai Joey ketika ditemui pemberita, berkata beliau hadir hari ini selepas mendapat surat perintah untuk hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes saman berkenaan.

Menjawab soalan pemberita mengapa beliau tidak muncul pada prosiding pada Jun lepas, Norwati mendakwa beliau tidak menerima sebarang surat kerana surat berkenaan dihantar ke alamat yang berbeza dengan tempat tinggalnya.        

“Saya sebenarnya tidak berniat untuk melarikan diri atau mengelak kerana surat yang dihantar kepada saya sebelum ini tidak sampai ke tangan saya,” katanya selepas selesai prosiding di dalam kamar Hakim Rasyihah Ghazali hari ini.

Norwati, yang tidak diwakili peguam, berkata beliau tetap akan membayar wang tersebut namun berharap jumlah berkenaan dapat diselesaikan secara ansuran selain tidak mampu membayarnya sekali gus kerana ia di luar kemampuannya.

“Saya juga ada merayu di hadapan hakim untuk kurangkan jumlah hutang yang perlu dibayar dan mahkamah mengarahkan saya untuk kemukakan penyata gaji saya dan suami bagi tujuan berkenaan,” kata pelakon itu dalam nada yang sebak.

Sementara itu, peguam Tengku Nadiatul Hanim Tengku Mohamad Nasser, mewakili Norhanasafiza, berkata mahkamah menetapkan 11 Okt ini untuk perbicaraan saman penghutang penghakiman. Namun, anak guamnya tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 10 Mac 2015, mahkamah memerintahkan Norwati membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83 selepas membenarkan tuntutan saman Norhanasafiza terhadap pelakon itu.

Norhanasafiza, selaku plaintif, memfailkan saman terhadap Norwati sebagai defendan berhubung kegagalan defendan menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya (Norhanasafiza) bagi membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Dalam pernyataan tuntutan, Norhanasafiza mendakwa beliau telah membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kereta itu sekitar September 2005 bagi pihak Norwati kerana pelakon itu tidak layak membuat pinjaman.

Norhanasafiza mendakwa selepas Norwati memiliki kenderaan itu beliau gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk gagal membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank dan tidak membayar cukai jalan.

Plantif mendakwa akibat kejadian itu, beliau diisytiharkan muflis pada 1 April 2013 dan perkara tersebut tersebar secara meluas di blog dan media cetak menyebabkan beliau mengalami tekanan dan memberi kesan negatif dalam kariernya.

Oleh itu, plantif menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline