Sunday October 1, 2017
9:00 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Raja Zarith Sofiah bertitah rakyat Malaysia yang menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan negara bangga kerana mereka menyandang jawatan cemerlang di seberang laut. — Foto BernamaRaja Zarith Sofiah bertitah rakyat Malaysia yang menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan negara bangga kerana mereka menyandang jawatan cemerlang di seberang laut. — Foto Bernama

JOHOR BARU, 1 Okt — Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah menggesa digembleng usaha bagi mewujudkan lebih banyak peluang untuk anak-anak muda belajar bahasa Inggeris agar mereka mendapat tempat di pentas dunia.

Baginda menegaskan campur tangan serius dan segera diperlukan kerana kini berlaku kemerosotan yang begitu ‘dramatik dan mendadak’ dalam kecekapan bahasa Inggeris, tulisan dan lisan, dalam kalangan anak-anak muda secara umumnya.

“Kita tidak harus bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk mengubah trend ini. 

“Kita perlukan guru-guru bahasa Inggeris, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan entiti korporat berganding bahu untuk mengambil tindakan proaktif,” ujar baginda dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Akhbar Diraja di sini hari ini.

Raja Zarith Sofiah, yang juga Penaung Diraja Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris (MELTA), turut menggesa semua pihak terlibat terus memotivasi dan mendorong pelajar bertutur dan menulis dalam Inggeris.

”Ini boleh dilakukan… bahasa Inggeris masih boleh menjadi bahasa pengetahuan dan komunikasi dalam  kalangan rakyat Malaysia.

“Impian saya ialah ingin melihat anak-anak muda Malaysia melanjutkan pengajian di universiti-unversiti bertaraf dunia seperti Harvard atau Oxford dan seterusnya menjadi ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat global. Bagi mencapai matlamat sedemikian, mereka perlu belajar bahasa Inggeris,” tegas baginda.

Raja Zarith Sofiah menarik perhatian bahawa di sekolah-sekolah hari ini, pelajar takut bertutur bahasa itu kerana khuatir akan dipersenda sebab cuba menjadi  “Mat Salleh”.

“Persepsinya ialah jika anda tidak bercakap bahasa Melayu, anda tidak bangga menjadi rakyat Malaysia. Jadi mereka berpatah balik dan tidak jadi bercakap bahasa Inggeris,” titah baginda dan menambah penekanan  yang lebih perlu diberikan kepada kelas bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Raja Zarith Sofiah menyatakan banyak rakyat Malaysia, setelah menguasai bahasa Inggeris, menyebabkan negara bangga kerana mereka menyandang jawatan akademik atau korporat yang cemerlang di seberang laut.

“Kita telah terlepas satu generasi rakyat yang semata-mata tidak mempunyai keyakinan menulis atau bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun ini belum terlambat. Masih ada harapan. Mari kita bekerjasama dengan pembuat dasar untuk membantu mengubah trend ini,” titah baginda. — Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline