Friday May 19, 2017
7:13 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Mohd Noor berkata sikap melabelkan bangsa akan menggugat perpaduan kaum dan tiba masanya perubahan dilakukan. — Foto oleh Yusof Mat IsaMohd Noor berkata sikap melabelkan bangsa akan menggugat perpaduan kaum dan tiba masanya perubahan dilakukan. — Foto oleh Yusof Mat IsaPUTRAJAYA, 19 Mei — Bekas Hakim Mahkamah Rayuan menyarankan supaya Perlembagaan Persekutuan dimasukkan dalam subjek di sekolah dan diajar kepada murid sekolah rendah bagi memupuk perpaduan antara kaum.

Datuk Mohd Noor Abdullah yang melahirkan kebimbangan mengenai perpaduan antara kaum berkata perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan boleh diajar kepada murid-murid berdasarkan tahap pemahaman mereka.

Beliau berkata perlembagaan yang diajar mestilah yang mudah difahami mereka.

"Saya risau lihat masa depan anak-anak kita, kalau kita teruskan keadaan yang membezakan antara kaum. 

"Marilah kita elakkan dan binalah masyarakat yang tiada sempadan bangsa," katanya semasa sidang media selepas sesi perbincangan meja bulat di bawah kumpulan kerja perundangan yang bertajuk 'Perlembagaan Asas Perpaduan' anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN), di sini hari ini.

Beliau berkata pamahaman yang betul mengenai Perlembagaan akan memupuk perpaduan seterusnya mengelakkan sifat perkauman antara kaum.

Mohd Noor juga mencadangkan diwujudkan satu slogan iaitu '1Malaysia Acuan Perlembagaan' iaitu rakyat Malaysia yang  bersandarkan kepada satu perlembagaan bagi memupuk perpaduan kaum.

Terdahulu pada sesi perbincangan itu, Mohd Noor menyarankan supaya perkataan 'Bangsa' digantikan kepada 'Masyarakat' seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan istilah 'Community'. 

Katanya sikap melabelkan bangsa akan menggugat perpaduan kaum dan tiba masanya perubahan dilakukan untuk menggantikan perkataan itu.

"Apa kata kita ubah Warga Malaysia ini terdiri daripada masyarakat Orang Asli, masyarakat pribumi dan masyarakat majmuk. Jangan kita gunakan istilah bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. 

"Saya nak hujahkan, di Malaysia tidak ada bangsa Melayu, Cina dan India, yang ada ialah masyarakat. 

"Bukankah jelas perlembagaan menggunakan istilah Community dan bukannya bangsa," katanya.

Menguatkan hujahnya, beliau berkata mengapa perlembagaan tidak menggunakan istilah Bangsa, kerana ia tidak mahu memecahbelahkan rakyat Malaysia kepada bangsa.

Menjelaskan mengenai masyarakat pribumi, beliau berkata ia terdiri daripada orang Melayu di Semenanjung, orang pribumi di Sabah dan Sarawak manakala masyarakat majmuk terdiri dari orang Cina, India dan lain-lain kaum.

"Mari kita perjuangkan warga Malaysia terdiri daripada tiga masyarakat dan bukannya berdasarkan kepada bangsa," tambahnya.

Ketika ditanya mengenai cadangannya untuk menggantikan istilah itu yang akan melibatkan banyak perkara termasuk dokumen rasmi dan kad pengenalan yang akan ditukar  tanpa diletakkan bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya, Mohd Noor menjawab: " Ya. Untuk apa kita letak Cina, Melayu dalam kad pengenalan, untuk sensor. 

"Banyak cara lain bukan dalam kad pengenalan sahaja." — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline