Saturday May 20, 2017
9:31 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Tiada perbincangan dibuat mengenai kedudukan tiga exco PAS dalam pentadbiran Selangor dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -- Foto oleh Choo Choy MayTiada perbincangan dibuat mengenai kedudukan tiga exco PAS dalam pentadbiran Selangor dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -- Foto oleh Choo Choy MaySABAK BERNAM, 20 Mei — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pihaknya belum memaklumkan kepada Istana Selangor mengenai penamatan hubungan kerjasama politik atau tahaluf siyasi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata setakat ini, tiada perbincangan dibuat mengenai kedudukan tiga exco PAS dalam pentadbiran negeri itu dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Difahamkan, Mohamed Azmin mengiringi Sultan Sharafuddin menziarahi Makam Diraja Shah Alam dan Makam Diraja Klang, pagi tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan merujuk kepada pihak istana mengenai isu berkenaan, Mohamed Azmin menjawab: “Saya berjumpa Tuanku (Sultan Sharafuddin) setiap minggu, setiap Selasa,” tanpa mengulas lanjut kepada pemberita selepas merasmikan Selangor Agrofest 2017 di Stadium Sungai Besar, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Exco PAS, Zaidy Abdul Talib yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.

Pada 11 Mei lepas, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara menamatkan hubungan kerjasama politik dengan PKR serta merta apabila parti itu dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Keputusan penamatan itu menimbulkan spekulasi mengenai kedudukan tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor yang dipimpin Mohamed Azmin, dengan komposisi tiga exco daripada PKR, tiga DAP dan tiga PAS.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Rabu memutuskan tiga exco PAS kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 tanpa perlu meletak jawatan.

Mengikut Perkara 53 Fasal 7 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyatakan seorang Exco selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenan oleh Sultan Selangor.

Selain Zaidy, dua lagi exco PAS dalam kerajaan Selangor adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar serta Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi dan Inovasi. — Bernama

Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline