Saturday May 13, 2017
10:58 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Iz Baidilleh, yang menuntut dalam bidang pergigian di Jordan, menang pertandingan sajak bertema Hinduisme. — Foto ihsan Facebook/Iz Baidilleh Iz Baidilleh, yang menuntut dalam bidang pergigian di Jordan, menang pertandingan sajak bertema Hinduisme. — Foto ihsan Facebook/Iz Baidilleh

KUALA LUMPUR, 13 Mei — Tidak salah menulis karya bertema Hinduisme walaupun beragama Islam, kata seorang pemenang pertandingan sajak.

Mohd Faiz Nazim Baidilleh, 23, menulisnya untuk memahami Hinduisme, paling tidak mengetahui struktur agama itu. 

“Dari dulu teringin hendak belajar tentang agama dan budaya orang lain. Tidak salah untuk mengenali orang Malaysia, kan?” katanya kepada ProjekMMO semalam.

Pertandingan itu dilihat menyindir mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, yang pernah menulis puisi “penyembah lembu” sehari sebelum pertandingan ini dibuka.

Terbuka pada umum antara 22-30 April, sebanyak 26 penyertaan diterima dan dinilai panel yang diketuai penulis terkenal Faisal Tehrani.

Faiz, nama penanya Iz Baidilleh, antara tiga pemenang utama Pertandingan Menulis Sajak Bertema Hinduisme melalui sajaknya Tiga.

Dua lagi pemenang pertandingan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan, T Viveganandan (Maka Kau Kubentuk) dan Lee Chen Kang (Cerita Muruga).

Diumumkan semalam, setiap pemenang mendapat hadiah tunai RM800 yang ditaja oleh penulis dan penerbit buku popular Amir Muhammad.

Tiga pemenang sagu hati, yang menerima RM160: Muhammad Fareed Isa (Sirna Dalam Samsara), Muhammad Ruzaiman Ahmad (Karma Bima Sakti) dan Renganathan Palanisamy (Kami Yang Bergelar Penganut Hindu).

Kavyan dipimpin Uthaya Sankar SB, pemenang beberapa anugerah sastera dan bekas ahli panel penilai novel Interlok yang kontroversi pada 2011.

Dihubungi melalui mesej Facebook, Faiz berharap kemenangannya dapat mengaburkan “garis hitam” pemisahan atas sebab agama dan bangsa. 

Penuntut pergigian di sebuah universiti Jordan itu berharap kemenangan sebagai orang Islam dapat menolak stereotaip tentang Hinduisme.

“Malaysia adalah negara majmuk yang rukun dan damai kerana kunci keharmonian kita terletak pada budi bahasa dan toleransi,” katanya.

Berikut sajak Tiga karya Iz Baidilleh: 

III
Lewat mata ketiga
kaulihat dengan jiwa
melintas lorong waktu;
Siva mengajarkanmu
yang usang akan pergi
melebur-hancur
kitaran semula jadi 
demi emansipasi.

II
Andai berselisihan
sisiplah dua kelopak
teratai kedamaian
merantai perbedaan
dengan integrasi tubuh
dan hati, membenarkan
kau menjadi saksi
indahnya intuisi suci
menuntut harmoni.

I
Di penghujung waktu
pastikan bersamamu
kesedaran dan pengharapan
agar akhirnya;
Brahma ‘kan bersatu.

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline