Thursday May 11, 2017
7:42 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Dalam lawatan ke Holy See, Datuk Seri Anifah Aman bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara meliputi hubungan dua hala. ― Foto ReutersDalam lawatan ke Holy See, Datuk Seri Anifah Aman bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara meliputi hubungan dua hala. ― Foto ReutersKUALA LUMPUR, 11 Mei ― Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semalam melakukan kunjungan hormat ke atas dua pemimpin terkemuka Vatican sebagai sebahagian daripada lawatan sulungnya ke Holy See.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua pemimpin Vatican itu ialah Setiausaha Negara kepada Paus Yang Mulia Cardinal Pietro Parolin serta Setiausaha bagi Hubungan dengan Negara-negara, Yang Teramat Mulia Archbishop Paul Gallagher.

Semasa mengunjungi Cardinal Parolin, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara meliputi hubungan dua hala dengan tujuan ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan.

“Yang Mulia juga membangkitkan beberapa isu serantau dan antarabangsa yang menimbulkan kebimbangan bersama seperti semenanjung Korea, Laut China Selatan serta isu Rohingya,” kata kenyataan itu dan menambah kedua-dua pihak bersetuju bahawa isu-isu ini perlu diselesaikan melalui rundingan secara aman dan kesederhanaan.

Dalam pertemuan dengan Archbishop Gallagher, isu-isu yang dibangkitkan antaranya ialah kerjasama antarabangsa dan isu-isu global demi kepentingan bersama, dan Anifah mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan mengenai inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Malaysia bertujuan memupuk kesederhanaan sebagai aspek fundamental bagi menjamin keharmonian antara pelbagai komuniti agama.

“Kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk bekerjasama rapat mengenai pelbagai isu yang dibincangkan termasuk pendidikan dan dialog antara agama yang akan membantu memerangi ekstremisme,” kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, mesyuarat itu ialah yang pertama antara kedua-dua pemimpin dan menyediakan saluran kepada kedua-dua pihak untuk meneroka kerjasama dua hala yang bermanfaat dan mewujudkan kerjasama dalam arena pelbagai hala ke arah keamanan dan kemakmuran.

Lawatan buat julung kali itu sejak Isnin lepas sehingga semalam juga menyaksikan pembukaan rasmi Kedutaan Malaysia ke Holy See kelmarin. ― Bernama

Lagi Video Hangat

Video Hangat

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline