Saturday April 29, 2017
9:38 AM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Apabila bersara pada 1991, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman meninggalkan MAS dengan rizab tunai RM5 bilion. — Foto oleh Yusof Mat Isa Apabila bersara pada 1991, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman meninggalkan MAS dengan rizab tunai RM5 bilion. — Foto oleh Yusof Mat Isa KUALA LUMPUR, 29 April — Meskipun usia beliau sudah menjangkau 83, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman masih berkhidmat sebagai peguam dan kerap dilihat di kamar mahkamah dengan jubah hitamnya.

Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak mengingati beliau sebagai peguam tetapi bekas ketua pegawai eksekutif/pengarah urusan Penerbangan Malaysia (sebelum itu dikenali dengan akronim MAS sewaktu zaman kegemilangannya).

Namun bidang undang-undang sentiasa dekat dalam hati beliau, justeru selepas bersara, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu kembali menjadi peguam, iaitu kerjaya pertama beliau.

"Sebenarnya saya sudah buat keputusan untuk praktis undang-undang sebaik sahaja saya bersara dari MAS," Abdul Aziz dipetik sebagai berkata dalam biografinya Tan Sri Datuk Indera Dr Abdul Aziz Abdul Rahman: On Course from Take-off to Touch Down yang ditulis oleh Sharifah Mariam Syed Mansor Al-Idrus.

Biografi itu, yang diterbitkan oleh Yayasan Tun Suffian, dilancarkan oleh penasihat sosio-kebudayaan kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim di Universiti Malaya pada 25 Mac.

Nama Abdul Aziz disegani dalam kalangan dunia korporat dan industri penerbangan sewaktu beliau aktif dalam kedua-dua bidang itu.

Ketika beliau menerajui MAS, syarikat itu bukan sahaja cemerlang dari segi kedudukan kewangan tetapi juga mendapat sanjungan kerana perkhidmatan dalam penerbangan yang cemerlang.

Diminta pulihkan penerbangan Filipina

Menjelang persaraannya pada 1992, beliau sudah mengukir nama dalam industri penerbangan dunia. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya seorang perunding yang berpangkalan di New York menawarkan beliau untuk mengetuai Philippines Airlines untuk memulihkan syarikat yang "tenat" itu.

"Saya tolak tawaran itu kerana kalau terima bermakna saya perlu berpindah ke Manila dan isteri saya tak bersedia untuk ke sana," Abdul Aziz memberitahu Bernama dalam wawancara di kediamannya di Bukit Damansara baru-baru ini.

Lulusan undang-undang Lincoln's Inn, London ini kembali ke tanah air pada tahun 1957 dan menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai pentadbir dan kemudiannya menjadi majistret dan presiden mahkamah sesyen.

Apabila meletus rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969, beliau dilantik sebagai peguam untuk Majlis Operasi Kebangsaan (NOC) untuk membuat deraf undang-undang bagi memastikan insiden berdarah itu tidak berulang.

Selepas 15 tahun bekerja dengan kerajaan, pada 1971 Abdul Aziz menggalas peranan baru untuk membantu mewujudkan syarikat penerbangan Malaysia apabila Malaysian-Singapore Airlines (MSA) membuat keputusan untuk berpisah.

Menurut beliau jawatan pertamanya sebagai setiausaha dan pengarah hal ehwal undang-undang MAS adalah untuk mengendalikan kesan perundangan akibat perpisahan MSA khusus pembahagian aset seperti kapal terbang, penyerapan kakitangan ke dalam syarikat penerbangan baru serta implikasi kewangan.

(MSA pada asalnya dikenali sebagai Malayan Airways pada 1947 dan selepas Merdeka ia dinamakan semula sebagai Malaysian Airways dan pada 1965 bertukar nama kepada Malaysia-Singapore Airline)

Tinggalkan MAS rizab RM5 bilion

Bagi Abdul Aziz, usaha untuk menukar MAS daripada sebuah syarikat penerbangan kecil dengan hanya laluan penerbangan domestik kepada syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa yang berjaya adalah pencapaian yang begitu membanggakan.

Sewaktu beliau menerajui MAS, syarikat itu mencatat pertumbuhan drastik dalam jumlah penumpang, kapal terbang serta laluan penerbangan. Syarikat itu melalui peringkat pengembangan operasi dan dilihat berada pada landasan yang betul.

Apabila beliau bersara pada 1991, beliau meninggalkan syarikat itu dengan rizab tunai sebanyak RM5 bilion.

Ketika beliau mengambil alih sebagai ketua pegawai eksekutif MAS pada 1982, syarikat itu menanggung RM39 juta defisit dan memerlukan RM70 juta untuk dana operasi.

"Saya melakukan beberapa langkah drastik termasuk menubuhkan pasukan petugas dengan matlamat meningkatkan keuntungan, memperkemas pasukan pekerja dan mengenal pasti laluan penerbangan yang menguntungkan," kata beliau.

Meskipun Abdul Aziz sudah lama meninggalkan syarikat penerbangan itu, beliau masih mengambil berat perkembangan yang berlaku dalam industri penerbangan dan syarikat yang pernah diterajuinya.

Lantas bukan sesuatu yang memeranjatkan untuk melihat beliau memberi komen dalam media berhubung isu yang melanda syarikat penerbangan itu yang begitu sinonim dengan dirinya.

Legasi di MAS terpadam?

Bagi banyak pihak yang mengenali beliau, keadaan syarikat penerbangan yang teruk hanya menunjukkan apa juga pencapaian Abdul Aziz serta legasinya sudah terpadam.

Selain pendapatan serta jumlah laluan yang semakin menurun, kehilangan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi serta pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine menambah kepada krisis yang melanda Penerbangan Malaysia.

Banyak langkah drastik dicadangkan untuk memulihkan semula syarikat penerbangan itu termasuk ide pertukaran saham antara MAS dan AirAsia yang turut dibantah Abdul Aziz.

Beliau turut mempersoal langkah syarikat penerbangan yang bermasalah itu untuk membeli enam buah pesawat A380 yang pada pandangannya tidak akan digunakan sepenuhnya dan memerlukan kos operasi yang tinggi.

Abdul Aziz menyatakan dengan jelas bahawa beliau bukan mahu menjadi "kaki sibuk" dengan mencampuri urusan MAS tetapi percaya kritikan yang membina boleh membantu memberi hala tuju yang baru untuk syarikat penerbangan itu.

Dalam suku pertama 2016, MAS mencatat pendapatan bersih RM51 juta dan keuntungan RM14 juta yang memberi sedikit kelegaan kepada kemelut kewangan yang dihadapinya.

Kes 'kalimah Allah'

Memandangkan semua anaknya sudah mempunyai keluarga sendiri, Abdul Aziz banyak menghabiskan masa dengan menulis bagi majalah Dewan Masyarakat di samping berkebun dan tamannya dipenuhi pokok bunga ros dan jasmine.

Semasa muda, beliau gemar bermain golf dan memancing di laut dalam. Bagaimanapunm semua itu terpaksa ditinggalkan selepas kecederaan yang dialami akibat terjatuh.

Mengulas keputusan kembali sebagai peguam, beliau berkata: "Bekas rakan sedarjah di Sekolah Inggeris Ismail yang turut belajar di Lincoln's Inn mempelawa saya menyertai firma guamannya, Messrs Nik Saghir and Ismail, dan saya terima pelawaan itu".

Ditanya mengapa beliau memilih bidang undang-undang, Abdul Aziz berkata minatnya berputik selepas lawatan ke mahkamah dan beliau beranggapan kehidupan peguam begitu menakjubkan.

Meskipun beliau mengkhususkan kepada perundangan korporat dan penerbangan sekembalinya menjadi peguam, beliau turut terbabit dalam beberapa kes sivil yang besar termasuk kes "kalimah Allah".

Abdul Aziz, yang kini menyandang jawatan pengerusi Yayasan Tun Suffian, juga percaya kepada membalas budi masyarakat.

Sekiranya tidak perlu berada di kamar mahkamah, beliau akan mengisi masa memberi ceramah kepada pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan mengenai perlembagaan .

Di samping itu, beliau aktif dalam Persatuan Penduduk Bukit Damansara dan menyandang jawatan pengerusi. — Bernama

LAGI VIDEO DI MMOTV

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline