Monday December 4, 2017
4:25 PM GMT+8

Iklan

Lagi berita

Wan Muhammad Azri Wan Deris, lebih dikenali Papagomo, berjalan di luar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didenda RM4,300 kerana memukul warga asing, 11 Mac 2016. — Foto oleh Choo Choy May Wan Muhammad Azri Wan Deris, lebih dikenali Papagomo, berjalan di luar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didenda RM4,300 kerana memukul warga asing, 11 Mac 2016. — Foto oleh Choo Choy May KUALA LUMPUR, 4 Dis — Penulis blog Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, akhirnya membayar ganti rugi berjumlah RM951,260.30 kepada bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memenangi kes saman fitnah terhadap blogger itu, tiga tahun lepas.

Peguam Irna Shahana Samsudin yang mewakili Wan Muhammad Azri memberitahu pemberita bahawa anak guamnya membayar RM950,000 dalam bentuk bank draf dan RM1,260 dibayar tunai menggunakan wang not RM1 serta 30 sen kepada Anwar ketika pendengaran petisyen kebankrapan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Husna Dzulkifli hari ini.

“Esok ditetapkan untuk pengurusan kes bagi pihak Anwar menarik balik petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri selepas anak guam saya  selesai membayar ganti rugi berkenaan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan Wan Muhammad Azri sepatutnya membayar ganti rugi berjumlah RM951,260.27 kepada Anwar.

Anwar memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri pada 30 Jun lepas, berikutan kegagalan penulis blog itu membayar ganti rugi kepada Anwar.

Prosiding di dalam kamar itu dihadiri Wan Muhammad Azri dan peguam Latheefa Koya serta J. Leela mewakili Anwar.

Sementara itu, Wan Muhammad Azri berkata beliau mendapat sumbangan daripada anggota Umno bahagian Wangsa Maju dan juga penyokongnya untuk membayar ganti rugi berkenaan kepada Anwar dengan mengadakan kutipan selama tiga bulan.

“Sebelum ini, saya cuba minta kepada peguam yang mewakili Anwar untuk membayar ganti rugi secara ansuran tetapi ditolak.

“Akhirnya, selepas perkara ini diuar-uarkan di media sosial saya, termasuk Instagram dan Twitter, saya dapat menjelaskan bayaran itu hari ini dengan bantuan penyokong dan anggota Umno Wangsa Maju,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan.

Pada 28 Feb 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada plaintif berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papagomo.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Wan Muhammad Azri bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Anwar manakala Mahkamah Rayuan pada 4 Dis 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Anwar memfailkan saman pada 21 Mac 2013 bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan artikel yang mengandungi perkataan fitnah di laman blog www.papagomo.com secara berturut-turut antara 16 dan 20 Mac 2013. — Bernama

Iklan

MMO Instagram

Tweets by @themmailonline